Harga emas terus susut ke paras RM530 segram - Utusan Malaysia

Harga emas terus susut ke paras RM530 segram

HARGA emas dunia susut ke paras RM530 segram selepas melonjak berikutan ketegangan di Asia Barat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas dunia susut dalam dagangan Asia pada Rabu, apabila kenaikan harga minyak mentah meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi menjelang keputusan dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Hingga lewat petang semalam, Kontrak Niaga Hadapan Emas susut 0.37 peratus kepada AS$4,059.60 seauns (RM532.07 segram) berbanding AS$4,074.60 seauns (RM534.77 segram) pada sesi dagangan akhir Selasa.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, perubahan jangkaan terhadap dasar monetari Fed AS, selain tindakan pelabur mengambil keuntungan selepas kenaikan harga emas yang ketara sebelum ini, menjadi antara faktor utama yang mendorong kejatuhan harga logam berharga itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, emas tidak menawarkan pulangan faedah seperti deposit atau bon, menyebabkan daya tarikannya berkurangan apabila pelabur menjangkakan kadar faedah AS kekal tinggi untuk tempoh lebih lama.

“Prospek emas bagi baki 2026 dan sepanjang 2027 masih disokong ketegangan geopolitik, ketidakpastian ekonomi global, pembelian emas oleh bank pusat serta permintaan pelabur yang mahu mempelbagaikan aset.

“Kenaikan harga emas berpotensi dihadkan sekiranya dolar AS terus mengukuh, hasil bon sebenar meningkat dan jangkaan kadar faedah kekal tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Prospek emas perlu dinilai berdasarkan beberapa senario, termasuk pemulihan secara beransur-ansur sekiranya tekanan inflasi berkurangan dan dolar AS melemah, pergerakan mendatar dengan turun naik ketara atau pembetulan harga berlanjutan jika hasil bon sebenar terus meningkat.

J.P. Morgan Global Research dalam unjuran yang diterbitkan pada Jun 2026 menjangkakan harga emas boleh mencapai sekitar AS$6,000 seauns (RM787.55 segram) pada menjelang akhir tahun ini dan AS$6,300 seauns (RM826.96 segram) pada hujung 2027.

Bagaimanapun, beliau berkata, unjuran itu dibuat sebelum perkembangan pasaran terkini dan tidak boleh dianggap sebagai sasaran yang pasti dicapai.

Bagi pergerakan harga dalam tempoh terdekat, Barjoyai berkata, paras AS$4,000 seauns (RM525.02 segram) merupakan penanda aras psikologi penting, manakala julat AS$3,900 seauns (RM511.96 segram) hingga AS$3,950 seauns (RM518.45 segram) boleh dipantau sekiranya tekanan jualan berterusan.

“Sebaliknya, julat AS$4,100 seauns (RM538.18 segram) hingga AS$4,200 seauns (RM551.24 segram) boleh digunakan untuk menilai sama ada pemulihan harga memperoleh momentum.

“Paras berkenaan merupakan zon pemantauan indikatif dan bukannya paras sokongan atau sasaran yang disahkan, justeru perlu dinilai semula berdasarkan pergerakan harga sebenar, hasil bon dan dolar AS selepas mesyuarat Fed,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penurunan harga emas boleh membuka peluang kepada pelabur jangka panjang untuk membina pegangan, namun harga yang lebih rendah tidak semestinya menandakan pasaran sudah mencapai paras terendah.

Katanya, pelabur boleh mempertimbangkan pembelian secara berperingkat berbanding menggunakan keseluruhan modal pada satu masa bagi mengurangkan risiko membeli ketika harga masih tinggi atau pasaran belum stabil.

“Pelabur juga perlu mengambil kira kadar pertukaran ringgit kepada dolar AS kerana pulangan emas dalam ringgit bukan sahaja bergantung pada harga antarabangsa, malah dipengaruhi pergerakan mata wang tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini