ACLE: JDT benam Port FC 3-0

ACLE: JDT benam Port FC 3-0

PENYERANG JDT Arif Aiman terjatuh apabila diasak pertahanan Port FC pada perlawanan Liga Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar untuk menjinakkan pendatang baharu Port FC 3-0 dalam aksi Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan JDT mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan dan menghuni tempat kedua, dua mata di belakang pendahulu Liga, kelab Jepun Vissel Kobe.

Bermain di hadapan 19,174 penonton, JDT mempamer aksi bertenaga seawal minit pertama memberi tekanan kepada pasukan pelawat daripada Thailand.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penyerang Iran, Shahab Zahedi yang diberikan kepercayaan untuk mengemudi jentera serangan JDT tampak serba tidak menjadi apabila gagal melakukan percubaan tepat ke arah pintu gol Port Lions itu.

Oscar Arribas turut berpeluang melakukan dua percubaan ke gawang lawan termasuk sepakan bebas namun tersasar daripada sasaran.

Peluang terbaik JDT dihasilkan oleh kapten, Arif Aiman Hanafi namun percubaan tepat ke pintu gol Port FC itu gagal menewaskan penjaga gol, Michael Falkesgaard yang menepis keluar bola pada minit ke-41.

Bersambung babak kedua, JDT meningkatkan tempo permainan dan berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-53 hasil jaringan pemain pertahanan Jonathan Silva.

Arif Aiman yang membuat larian di sayap kanan melakukan sepakan lambung ke dalam kotak penalti dan Jonathan yang tidak dikawal melepaskan sepakan voli rendah ke penjuru gol bagi menjaringkan gol pertama perlawanan. Dia hampir meletakkan namanya dalam senarai penjaring tiga minit kemudian namun bola yang dirembatnya sekadar menggegar jaring sisi gol lawan.

Bergson Da Silva yang dibawa masuk pada minit ke-57 menggantikan Zahedi berjaya menambah jaringan buat Harimau Selatan setelah bola tandukannya terbias ke kaki pertahanan lawan sebelum melintasi jaringan gol Port FC pada minit ke-62.

Bergson yang meraikan jaringan tersebut dengan penuh emosi bukan sahaja dilayangkan kad kuning setelah menanggalkan jersi malah mengalami kecederaan. Dia kemudian dibawa keluar selepas berada di padang tidak sampai 10 minit di atas padang dan digantikan dengan Stoichkov.

Harimau Selatan menggandakan serangan dan hampir mencipta jaringan menerusi percubaan Marcos Guilherme namun ia dinafikan Falkesgaard pada minit ke-64.

Anak buah Bozidar Bandovic merapatkan jurang pada minit ke-70 namun jaringan Jude Soonsup-Bell dari sudut sukar dibatalkan pengadil perlawanan Alireza Faghani setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati pemain itu sudah berada di posisi ofsaid.

Pada lima minit terakhir permainan, JDT menambah derita buat pasukan pelawat menerusi serangan balas pantas berpunca larian lincah Guilherme yang disudahkan Stoichkov untuk meledak gol ketiga pada minit ke-86.

JDT akan berdepan Jeonbuk Hyundai Motors pada perlawanan keempat di Jeonju World Cup Stadium, Korea Selatan pada 3 November depan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini