TEL AVIV: Polis pada Selasa menahan seorang lelaki bersenjatakan pisau yang bertindak mengancam ke arah Yair Golan, pemimpin parti berhaluan kiri utama Israel, ketika beliau menggerakkan pengundi di Tel Aviv pada hari pilihan raya, menurut partinya.
“Hasutan dan keganasan tidak akan menakutkan kami,” kata Golan dalam satu kenyataan, sambil menyalahkan insiden itu kepada ‘jentera racun’ Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang melancarkan serangan keras terhadap golongan kiri sepanjang kempen pilihan rayanya.
Menurut partinya, The Democrats, Golan sedang berusaha menggalakkan pengundi keluar mengundi di sebuah taman di Tel Aviv apabila seorang lelaki tidak dikenali menghampirinya dengan cara mengancam.
Parti itu menambah bahawa sebilah pisau besar terjatuh daripada pakaian lelaki berkenaan ketika pengawal keselamatan Golan menghalangnya. Pengawal keselamatan kemudian menahan lelaki itu.
Polis mengesahkan lelaki berkenaan ditahan dan membawa pisau. Polis berkata, lelaki itu ialah penduduk Baitulmuqaddis berusia lingkungan 20-an.
Golan, bekas pegawai tentera, mengetuai The Democrats, parti berhaluan kiri utama yang menghimpunkan saki-baki Parti Buruh Israel, yang menerajui negara itu sepanjang tiga dekad pertama penubuhannya.
Beliau membentuk pakatan pilihan raya dengan calon pembangkang yang diketuai bekas ketua tentera, Gadi Eisenkot tetapi mengambil pendirian yang lebih ke kiri.
Golan merupakan satu-satunya calon daripada parti utama di Israel yang masih menyokong penyelesaian dua negara bersama rakyat Palestin. – AFP











