PETALING JAYA: Senarai syor dasar bagi cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik akan dibentangkan kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen dalam masa terdekat untuk penelitian lanjut dan maklum balas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, syor berkenaan seterusnya akan dimuktamadkan untuk pertimbangan jemaah menteri.
Beliau berkata cadangan perundangan tersebut merangkumi beberapa bidang utama, termasuk skop undang-undang, sumber dan had sumbangan politik, mekanisme penerimaan dana, keperluan pelaporan, audit, ketelusan, kesalahan serta penalti.
“Syor-syor dasar ini akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen dalam masa terdekat untuk penelitian lanjut serta maklum balas sebelum dimuktamadkan bagi pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang bertanyakan bentuk perlindungan yang akan dimasukkan ke dalam cadangan perundangan itu.
Ia bagi melindungi penderma kepada parti politik, termasuk pembangkang, daripada tindakan balas atau salah guna kuasa kerajaan menerusi audit cukai, semakan lesen mahupun kontrak kerajaan.
Menjawab kebimbangan tersebut, Azalina berkata salah satu prinsip yang sedang dipertimbangkan adalah individu yang menyumbang dana politik secara sah tidak wajar berdepan tindakan balas atau layanan tidak adil semata-mata kerana sumbangan yang diberikan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perlindungan sedemikian tidak akan memberi kekebalan undang-undang kepada penderma politik.
“Sekiranya terdapat asas yang sah dan bebas, termasuk ketidakpatuhan cukai, pelanggaran syarat pelesenan, kesalahan jenayah atau ketidakteraturan dalam perolehan kerajaan, tindakan penguatkuasaan masih boleh diambil di bawah undang-undang sedia ada,” katanya.
Azalina berkata perbezaan yang jelas perlu dikekalkan antara sumbangan politik yang sah dengan tanggungjawab kerajaan dalam urusan audit, pengawalseliaan, penguatkuasaan dan perolehan.
“Cadangan keperluan mengenai pelaporan berkala, audit dan pendedahan kepada umum, bersama-sama kesalahan serta penalti yang setimpal, akan membantu memastikan semua pihak tertakluk kepada peraturan yang sama dan bertanggungjawab terhadap sebarang pelanggaran,” jelasnya.
Mengenai perkembangan RUU tersebut, Azalina berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri telah mengambil alih kajian berkenaan pada Mei 2023, dengan skop dasarnya dipersetujui pada 8 September tahun tersebut untuk dirujuk kepada jawatankuasa pilihan parlimen.
Beliau menyatakan dapatan kajian menunjukkan sebanyak 88.4 peratus daripada 3,422 responden tinjauan menyokong keperluan undang-undang khusus bagi mengawal selia pembiayaan politik, selain sesi libat urus yang melibatkan seramai 1,544 pihak berkepentingan.
“Bahagian ini seterusnya menganjurkan Konvensyen Pembiayaan Politik 2026 pada 8 Sept lalu, dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), bagi membentangkan hasil penyelidikan serta mengumpul maklum balas tambahan daripada pihak berkepentingan.”
Azalina berkata komitmen kerajaan untuk memperkenalkan perundangan ini kekal selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028, bermatlamat mewujudkan kerangka pembiayaan politik yang lebih jelas, telus dan bertanggungjawab. – UTUSAN










