Merealisasi gaji minimum siswazah RM2,500

Merealisasi gaji minimum siswazah RM2,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAKYAT Malaysia semakin ramai yang berpendidikan tinggi. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan siswazah di Malaysia meningkat kepada 5.98 juta orang pada tahun 2024, manakala statistik rasmi terkini yang direkodkan bagi kadar pengangguran siswazah adalah sebanyak 3.2 peratus.

Persoalan yang hangat diperkatakan kini adalah tentang gaji minimum RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerjaan separa mahir sebagai permulaan menerusi pembaharuan kerangka pendapatan pekerja. Ia sebagaimana diumumkan Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Mengikut statistik DOSM bagi tahun 4.98 juta orang, dengan kira-kira 67.8% bekerja dalam kategori pekerjaan mahir (profesional, pengurus, serta juruteknik dan profesional bersekutu).

Mengikut statistik Kementerian Pengajian Tinggi 2025, kadar bekerja siswazah mengikut jenis IPT adalah politeknik 98.5% bekerja (1.5% belum bekerja); universiti awam 97.9% bekerja (2.1% belum bekerja) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS): 92.6% bekerja (7.4% belum bekerja)

Berdasarkan statistik ini, nampak pengangguran dalam kalangan siswazah tidaklah besar jumlahnya. Namun realitinya, ramai siswazah yang bekerja di luar bidang pengajian masing-masing dan terlibat dalam sektor gig.

Dalam laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia April 2026 bertajuk ‘Menaikkan Siling, Menaikkan Lantai: Agenda Pekerjaan sebagai Agenda Produktiviti’ dikeluarkan Bank Dunia, sektor gig kini bukan lagi pekerjaan sampingan, sebaliknya menjadi antara entiti yang memacu guna tenaga rakyat Malaysia.

Menurut Bank Dunia, 31 peratus pekerja gig sepenuh masa menyatakan mereka memasuki sektor itu kerana gagal memperoleh pekerjaan formal yang bersesuaian.

Lebih membimbangkan, keadaan ini mencetuskan isu guna tenaga tidak penuh dan pembaziran potensi dalam kalangan tenaga kerja berpendidikan tinggi. Sebanyak 34 peratus daripada pekerja gig yang gagal dapat pekerjaan formal adalah pemegang ijazah atau pendidikan tertiari.

Sektor majikan pula nampak berat untuk melaksanakan pembaharuan kerangka gaji pekerja ini. Banyak alasan yang mereka beri. Biasalah, majikan sudah pasti mahu mengurangkan kos operasi seminimum mungkin dan meningkatkan untung sebanyak mungkin.

Antara alasan majikan, kenaikan gaji permulaan bukan sekadar meningkatkan perbelanjaan bagi graduan baharu, malah turut memberi kesan kepada struktur gaji sedia ada.

Kata mereka, jika sebuah syarikat ketika ini membayar graduan baharu RM2,000 sebulan, peningkatan gaji permulaan kepada RM2,500 adalah kenaikan 25 peratus dalam gaji pokok bagi jawatan tersebut.

Sedangkan majikan juga perlu melaraskan gaji pekerja sedia ada yang mempunyai pengalaman lebih luas atau tanggungjawab penyeliaan bagi mengekalkan perbezaan gaji yang munasabah.

Penyelesaian yang menang-menang perlu dicari dalam isu ini. Pada peringkat awal, gaji minimum RM2,500 itu wajar dijadikan penanda aras rujukan nasional, disokong panduan gaji berasaskan pekerjaan dan kemahiran yang ditakrifkan dengan jelas.

Membayar upah yang setimpal dengan kelayakan dan kemahiran juga adalah satu bentuk keadilan kepada pekerja. Ingatlah, pekerja terutama yang berkualiti adalah aset kepada syarikat.

 

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia – UTUSAN