KUALA LUMPUR: Isu moral yang membabitkan tangkapan khalwat ke atas pemimpin parti Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini bakal menjadi beban kepada kesemua 15 calon parti itu yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Pahang, Kampus Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, walaupun direhatkan daripada sebarang aktiviti politik parti selama tiga bulan, isu membabitkan Nik Nazmi akan tetap menjejaskan corak strategi kempen parti tersebut selain mengurangkan jumlah kehadiran di kalangan penyokong semasa ceramah.
“Walaupun pimpinan lain cuba untuk mengalihkan isu khalwat tersebut dengan menekankan agenda lain termasuk skandal mafia korporat, namun topik tangkap khalwat Nik Nazmi tetap terpahat di minda pengundi.
“Buat masa ini, adalah lebih baik Bersama untuk menjalani tempoh bertenang dan cuba bermuhasabah diri mengenai apa yang diperjuangkan parti itu kerana imej pimpinan parti telah tercemar dengan teruk sehingga meningkatkan potensi calon,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Shahrizan Ramli berkata, Nik Nazmi seharusnya berundur sepenuhnya daripada dunia politik setelah namanya dicemar dengan kes ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Ujar Shahrizan Ramli, pendekatan yang diambil oleh parti Bersama untuk merehatkan beliau selama tiga bulan telah memberi gambaran yang salah kepada pemimpin masa depan terutama anak-anak muda.
Mengulas lanjut, Muhammad Ariff berkata, politik di Malaysia lebih mementingkan isu moral daripada hal-hal lain kerana tanpa integriti yang kuat, mana-mana pemimpin akan tersungkur dengan mudah dan mengambil masa yang lama untuk kembali kuat. – UTUSAN











