TEL AVIV: Tentera Israel melancarkan latihan ketenteraan berskala besar selama 48 jam bermula Ahad bagi menghadapi kemungkinan pencerobohan mengejut ketika spekulasi Amerika Syarikat (AS) akan menyerang Iran dalam tempoh terdekat.
Latihan itu membabitkan beberapa divisyen tentera dan aset udara membabitkan kawasan di sempadan selain serangan darat di bahagian utara serta tengah negara itu.
Seorang penganalisis keselamatan Israel turut memberi amaran mengenai risiko ‘kesilapan perhitungan yang berbahaya’ susulan ketegangan semasa, dengan mengaitkannya dengan Perang Yom Kippur 1973.
Dalam perang itu, Mesir dan Syria menggunakan latihan ketenteraan untuk menyembunyikan persiapan melancarkan serangan mengejut terhadap Israel.
Latihan itu menyusul selepas Iran mempamerkan kekuatan ketenteraannya beberapa hari sebelumnya apabila Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan kira-kira 30 peluru berpandu balistik daripada dua kelas senjata berbeza.
Ia diadakan ketika spekulasi AS akan menyerang Iran semakin hangat diperkatakan apabila Presiden Donald Trump pada Sabtu berkata, kemungkinan Washington melancarkan serangan terhadap Iran masih terbuka tetapi kedua-dua negara juga berpeluang mencapai perjanjian.
Kali terakhir AS menyerang Iran ialah pada 1 September lalu selepas Washington memulakan perang ke atas negara itu dengan Israel apabila menyerang Teheran pada 28 Februari sehingga menyebabkan Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh selepas rundingan nuklear dengan Republik Islam itu tidak membuahkan hasil.
Latihan itu juga diadakan sebelum pilihan raya umum diadakan di Israel yang bermula pada Selasa dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menghadapi saningan sengit dengan bekas ketua tentera, Gadi Eisenkot yang mewakili parti pembangkang, Yashar.
Menurut Pasukan Pertahanan Israel (IDF), latihan berkenaan membabitkan Divisyen ke-210 di bawah Komando Utara, Divisyen Tebing Barat dan Divisyen ke-98 serta ke-96 di bawah Komando Tengah, selain Tentera Udara Israel.
IDF berkata latihan itu bertujuan mengekalkan kesiapsiagaan pasukan, memperkukuhkan keupayaan mempertahankan komuniti dan mengoptimumkan penggunaan keupayaan udara bagi tujuan pertahanan.
Minggu lalu, IDF memaklumkan tenteranya akan menjalani latihan bagi menghadapi pelbagai senario, termasuk serangan mengejut dan pencerobohan ke wilayah Israel melalui udara serta darat, dengan mengambil kira pengajaran daripada serangan yang diketuai Hamas pada 7 Oktober 2023.
“Latihan ini kebanyakannya tertumpu kepada ancaman daripada kumpulan bukan negara, sama ada dengan atau tanpa sokongan Iran.
“Kumpulan di Syria, Lubnan dan Jordan mungkin cuba menyusup masuk ke Israel atau melancarkan serangan darat. Sebahagiannya mendapat sokongan Iran. Serangan sedemikian mungkin dirancang oleh Iran atau tercetus daripada inisiatif tempatan,” kata penganalisis keselamatan Israel, Dr Ehud Eilam kepada Fox News Digital.
Bekas penyelidik di Kementerian Pertahanan Israel itu berkata, latihan berkenaan merupakan yang terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan bertujuan memperkukuh pertahanan sempadan.
“Latihan ini bertujuan memastikan hari pengundian pada 27 Oktober berjalan lancar. Ia juga merupakan mesej kepada Iran dan pihak lain supaya tidak mencetuskan provokasi pada hari pengundian hingga mengganggu kelancaran proses itu,” katanya.











