Laluan kapal Kuantan-Kuching buka peluang dagangan baharu - Utusan Malaysia

Laluan kapal Kuantan-Kuching buka peluang dagangan baharu

MOHAMAD Nizar Najib (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima Anugerah Pemenang Pengeksport Terbaik Negeri Pahang pada program Hari Eksport Pahang 2026 di Hotel Grand Darul Makmur di Kuantan, Pahang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Laluan perkapalan baharu antara Kuantan dengan Sarawak berpotensi mengurangkan kos logistik, mempercepat penghantaran barangan dan memperluas akses pasaran eksport Pahang ke Malaysia Timur selepas lebih tiga dekad laluan terus itu terhenti sejak era Feri Malaysia pada penghujung 1980-an.

Perkhidmatan kapal jenis roll-on/roll-off (Ro-Ro) yang dikendalikan Konsortium Perkapalan Timur itu mula beroperasi pada 19 Oktober lalu, menghubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Kuching, Sarawak bagi penghantaran kenderaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, penghantaran kenderaan menerusi laluan itu dapat menjimatkan banyak masa dan kos logistik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Menerusi laluan ini, proses penghantaran hanya akan mengambil masa kurang 48 jam berbanding empat hingga enam hari melalui Pelabuhan Klang.

“Saya difahamkan sebanyak 300 kenderaan dijadualkan dihantar ke Kuching menerusi perkhidmatan berkenaan pada minggu ini,” katanya ketika berucap pada program Hari Eksport Pahang 2026 di Hotel Grand Darul Makmur di sini semalam.

Mohd. Nizar berkata, perkhidmatan berkenaan perlu diperluas daripada pengangkutan kenderaan kepada penghantaran kontena bagi membolehkan lebih banyak jenis barangan dipasarkan antara kedua-dua wilayah.

Ujarnya, kerajaan negeri berhasrat memperkukuh kerjasama perdagangan dengan Sarawak dan meneroka peluang memperluas perkhidmatan perkapalan ke Sabah bagi mewujudkan hubungan perdagangan dua hala yang lebih aktif.

“Sebagai contoh, bagi Pahang, kita boleh menghantar produk seperti ikan patin dan sambal hitam ‘retort’ (siap dimakan) ke Sarawak, manakala negeri itu mempunyai produk seperti ikan terubuk masin yang boleh dipasarkan di Pahang.

“Kita berharap kerjasama ini dapat direalisasikan dan diperluas daripada perkhidmatan Ro-Ro kepada penghantaran kontena,” katanya.

Mohamad Nizar turut menggalakkan pengeksport di Pantai Timur, khususnya Pahang, memanfaatkan kemudahan Pelabuhan Kuantan bagi menembusi pasaran antarabangsa, termasuk dengan berbincang bersama syarikat perkapalan untuk mengenal pasti laluan penghantaran yang lebih menjimatkan.

“Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang berhasrat mengeksport produk mereka ke luar negara perlu meneroka peluang menggunakan kemudahan perkapalan yang tersedia.

“Kerajaan negeri bersedia membantu memudah cara usaha itu mengikut kemampuan dan keupayaan yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri menyasarkan Pelabuhan Kuantan berkembang sebagai pelabuhan bertaraf dunia dan setanding dengan Pelabuhan Klang menerusi peningkatan jumlah eksport serta penggunaan kemudahan logistik secara lebih menyeluruh.

Selain pengangkutan laut, operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka bermula Disember ini turut berpotensi memperkukuh jaringan logistik negeri. Laluan fasa pertama menghubungkan Gombak dengan Kota Bharu, manakala peluasan jaringan ke Pelabuhan Klang disasarkan pada 2029.

Tambahnya, jaringan rel itu berpotensi menghubungkan pengangkutan darat dengan pelabuhan utama negara, sekali gus memudahkan pergerakan barangan eksport ke pelbagai destinasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini