PETALING JAYA: Kerajaan sedang meneliti penggunaan pendapatan boleh guna (NDI) sebagai indikator baharu dalam penyaluran bantuan rakyat bagi memastikan agihan dilaksanakan secara lebih adil dan bersasar.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Shahar Abdullah berkata, pendekatan berasaskan NDI itu dilihat lebih realistik berbanding kaedah pendapatan kasar sedia ada kerana mengambil kira komitmen perbelanjaan asas isi rumah berdasarkan faktor demografi dan lokaliti tempat tinggal sebenar penerima.
Justeru katanya, Kementerian Ekonomi kini dalam fasa perbincangan untuk melaksanakan sebuah projek rintis bagi menilai secara terperinci keberkesanan kaedah tersebut, di samping memahami impak langsungnya terhadap kedudukan fiskal negara.
“Bagaimanapun, sementara menunggu mekanisme pengukuran baharu itu dimuktamadkan sepenuhnya, kerajaan terus melaksanakan beberapa inisiatif jangka pertengahan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“Antara langkah yang digerakkan termasuk menaikkan kadar Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM200 bagi setiap murid, yang disalurkan secara menyeluruh tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berhubung penilaian kerajaan terhadap kedudukan sebenar kelas menengah yang berdepan peningkatan komitmen perumahan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan keluarga. – UTUSAN











