KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh mekanisme penguatkuasaan bagi menangani isu kelewatan perbicaraan dan tunggakan nafkah di Mahkamah Syariah, termasuk menetapkan sasaran penyelesaian sekurang-kurangnya 75 peratus kes tunggakan nafkah setiap tahun.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan hak isteri dan anak-anak yang terjejas akibat kegagalan pembayaran nafkah terus dilindungi.
“Bagi menangani masalah ini, JKSM telah menguatkuasakan pelbagai mekanisme yang tegas termasuk penetapan Indeks Prestasi Utama (KPI); penyelesaian kes yang ketat di mana sekurang-kurangnya 75 peratus daripada kes tunggakan nafkah wajib diselesaikan setiap tahun.
“Kedua, kerjasama strategik berasaskan pangkalan data bersama agensi seperti KWSP, Perkeso, LHDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesan lokasi terkini status pekerjaan serta maklumat majikan baharu bagi penghutang penghakiman yang sengaja melarikan diri atau menyembunyikan maklumat.
“Kerjasama turut diperkukuh dengan Jabatan Imigresen Malaysia khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan waran tangkap serta keperluan pengesanan pihak yang berada di luar negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) meminta kerajaan menjelaskan mekanisme bagi menyelesaikan isu kelewatan perbicaraan Mahkamah Syariah terutamanya kes tuntutan nafkah dan anak yang tertunggak bertahun-tahun lamanya.
Selain itu, Marhamah berkata, BSK turut melaksanakan pemantauan berkala dan mengambil tindakan pantas bagi memastikan perintah nafkah dipatuhi, khususnya apabila berlaku kemungkiran pembayaran.
“Dalam tempoh enam bulan selepas suatu perintah nafkah dikeluarkan, sekiranya berlaku kemungkiran atau tunggakan pembayaran, BSK akan bertindak pantas membantu pihak teraniaya memfailkan kes penguatkuasaan perintah,” katanya.
Katanya, usaha menangani isu berkenaan turut merangkumi pendidikan kesedaran dan pencegahan pengabaian nafkah bagi memastikan masyarakat memahami kepentingan memenuhi tanggungjawab tersebut. – UTUSAN











