KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zahid tidak sesekali menganggap penglibatannya yang menyanyi di kelab malam sebagai tindakan yang merendahkan martabatnya sebagai seorang penyanyi yang satu ketika dahulu pernah berada dalam puncak kejayaan.
Menurut juara Akademi Fantasia musim kedua itu, bahkan kelab malam menjadi tempat mencari rezeki yang sepatutnya disyukuri dan dihargai tanpa perlu memikirkan di mana letaknya kedudukannya dalam industri hiburan tanah air.
“Ramai yang tanya, kenapa saya menyanyi di kelab malam? Terpaksa tebalkan telinga dengan soalan seperti itu.
“Orang boleh berkata apa sahaja, itu pandangan mereka. Tapi yang mustahak dalam hal ini, adalah pandangan saya.
“Penghujungnya, keadaan ini adalah tentang saya, yang perlukan duit untuk makan minum dan perbelanjaan harian,” katanya dalam sidang media Gegar Vaganza Fantasi baru-baru ini.
Malah, kata Zahid kelab malam merupakan tempat yang banyak mengajar dan membentuk pengalaman untuk menjadi penyanyi yang baik dan kekal bertahan meskipun dia tidak lagi keluar di kaca televisyen.
“Ada orang berpandangan saya merendahkan standard sendiri. Saya tidak berfikiran seperti itu. Malah saya merasakan kelab malam ini adalah tempat untuk saya menyanyikan pelbagai lagu dengan cara sendiri.
“Dan cara saya melayan pengunjung kelab malam itu berbeza dengan tempat lain kerana audiensnya datang daripada pelbagai latar belakang dan bangsa.
“Kelab malam juga menguji kemampuan saya untuk membawakan lagu pelbagai bahasa seperti Itali dan Sepanyol. Jadi menyanyi di kelab malam menguji kebolehan saya.
“Jadi pengalaman tiga tahun menyanyi di kelab malam akan saya gunakan dalam pertandingan Gegar Vaganza nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zahid, yang merupakan antara peserta yang bakal bersaing dalam Gegar Vaganza musim ke-13 bersedia menerima kritikan yang dilemparkan sepanjang program ini berlangsung nanti.
Namu katanya, dia tidak akan melayan komen-komen negatif menjatuhkan semangatnya, sebaliknya membiarkan perkara itu berlaku dan berlalu dengan sendirinya.
“Saya tak ambil serius sangat perkara itu, tambah lagi pada usia sekarang, kalau saya melayan perkara negatif hanya akan merugikan saya.
“Kalau kita beri peluang perkara negatif masuk ke dalam diri kita, ianya akan menjejaskan emosi sendiri dan menghalang kita untuk bekerja.
“Saya lebih elok saya tidak melayan kritikan tidak membina dan kecaman tentang saya di media sosial. Biarlah yang sebelah pihak sahaja bertepuk.
“Saya tumpukan pada kerja saya dan nikmati hasilnya,” kongsinya lagi.-UTUSAN











