Bapa penyelia kontraktor DBKL mahu hukuman lebih berat - Utusan Malaysia

Bapa penyelia kontraktor DBKL mahu hukuman lebih berat

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bapa kepada penyelia kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Faris Irfan, 28, yang maut dirempuh pemandu dipercayai mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur, Sabtu lalu menggesa supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu mabuk dan ambil dadah.

Fazli Buyong, 56, berkata, undang-undang berkaitan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah perlu dikaji semula serta diperketatkan bagi mengelakkan lebih banyak nyawa menjadi korban.

“Saya mohon kita ramai-ramai pakat minta pembuat dasar (Ahli Parlimen) buat akta yang lebih berat untuk pemandu bawah pengaruh alkohol dan dadah yang banyak meragut nyawa dan meninggalkan kesan kepada keluarga terlibat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lebih banyak sekatan jalan raya setiap malam Jumaat dan hujung minggu,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Faris Irfan, anak sulung daripada tiga beradik, maut selepas dirempuh sebuah kereta di Lebuhraya Sultan Iskandar, kira-kira pukul 5 pagi.

Dalam kejadian itu, mangsa bersama seorang pemandu lori berusia 49 tahun dan tiga pekerja warga Bangladesh sedang menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di bawah kontrak DBKL.

Difahamkan, mangsa baru empat bulan mendirikan rumah tangga. Ketika kejadian, isteri Allahyarham turut berada di lokasi selepas menemani suaminya bekerja sejak pukul 10 malam, namun berada di dalam kereta.

Siasatan mendapati pemandu kereta berusia 26 tahun itu mempunyai bacaan alkohol sebanyak 64 miligram bagi setiap 100 mililiter (mg/100ml) dan ditahan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) dan Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini