Israel perluas kempen ‘pembersihan etnik’ ke Hebron

Israel perluas kempen ‘pembersihan etnik’ ke Hebron

ISRAEL memperluas kempen ‘pembersihan etnik’ ke bandar Hebron di Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel memperluas kempen ‘pembersihan etnik’ ke bandar Hebron di Tebing Barat yang diduduki, dengan rancangan pemindahan penduduk secara besar-besaran dan pemusnahan bangunan mula dilaksanakan, menurut amaran pertubuhan hak asasi manusia Israel, B’Tselem.

Pertubuhan itu menggesa kerajaan asing dan institusi antarabangsa campur tangan menggunakan segala mekanisme yang tersedia di bawah undang-undang antarabangsa bagi menghentikan pemindahan paksa orang awam Palestin, hukuman kolektif dan pemusnahan meluas yang menyalahi undang-undang.

“Pemimpin Israel secara terbuka menyatakan hasrat mereka, manakala tindakan di lapangan sudah pun bermula,” menurut B’Tselem.

Memuatkan artikel berkaitan…

Amaran itu menyusul insiden tembakan berhampiran Hebron pada Jumaat yang mengorbankan dua anggota tentera Israel dan dua rakyat Palestin, selain mencederakan tiga lagi anggota tentera Israel.

Susulan kejadian itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz mengumumkan langkah untuk memindahkan penduduk secara paksa serta merobohkan bangunan secara meluas.

“Kami akan melaksanakan di bandar-bandar model serangan yang berjaya kami gunakan di kem pelarian,” kata Netanyahu.

B’Tselem berkata, pendekatan sama telah menyebabkan lebih 33,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal di seluruh kawasan utara Tebing Barat yang diduduki.

Pasukan tentera Israel mengepung Hebron dan bandar berdekatan, Halhul untuk hari kedua berturut-turut, memaksa puluhan rakyat Palestin meninggalkan rumah mereka, menyerbu kediaman serta merobohkan sebuah bangunan kediaman serta beberapa hartanah lain.

Pada masa sama, Pentadbiran Awam Israel mula merobohkan struktur milik rakyat Palestin di kawasan kejiranan Farsh al-Hawa.

Menteri Kewangan Israel yang berhaluan kanan, Bezalel Smotrich pula mengumumkan penubuhan empat pos penempatan pertanian baharu yang tidak sah di sisi undang-undang di kawasan perbukitan selatan Hebron.

B’Tselem memberi amaran langkah-langkah yang diselaraskan itu boleh dianggap sebagai jenayah perang dan mencerminkan serangan dahsyat Israel sepanjang kempen pembunuhan beramai-ramai yang berlarutan selama beberapa tahun di Gaza.

Pertubuhan itu menyifatkan kempen berkenaan sebagai sebahagian daripada dasar lebih luas untuk memusnahkan kehidupan masyarakat Palestin, sambil memperluas penempatan haram dan mengukuhkan pendudukan Israel secara kekal. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini