KUALA LUMPUR: Pengisytiharan negara asal minyak sawit yang dicampur di Malaysia tidak boleh dipandang ringan kerana sebarang ketidaktepatan boleh menjejaskan integriti dan reputasi produk negara di pasaran antarabangsa.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Madzli Harun berkata, aktiviti pencampuran minyak sawit dibenarkan dalam industri, namun proses berkenaan tidak secara automatik menjadikan produk akhir berasal dari Malaysia.
Beliau berkata, penentuan negara asal sesuatu produk tertakluk kepada peraturan asal usul barang (Rules of Origin atau RoO), yang mengambil kira proses pemprosesan, kandungan bahan mentah dan kriteria yang ditetapkan di bawah peraturan perdagangan berkaitan.
“Jika bil muatan (Bill of Lading atau B/L) asal menyatakan minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (Refined, Bleached and Deodorised Palm Olein atau RBD Palm Olein) berasal dari Indonesia, kemudian produk itu menjalani proses pencampuran di Malaysia, ia tidak semestinya terus menjadi produk asal Malaysia. B/L boleh dipinda selepas kapal meninggalkan pelabuhan pemuatan dan ketika dalam pelayaran ke pelabuhan destinasi, tetapi pindaan itu mesti mempunyai alasan yang munasabah serta disokong dokumen yang sah,” katanya.
Madzli berkata proses pencampuran semata-mata belum tentu memenuhi syarat RoO atau mengubah negara asal produk, justeru pengusaha perlu membuktikan bahawa pemprosesan yang dilakukan memenuhi kriteria yang berkenaan sebelum produk akhir boleh diisytiharkan berasal dari Malaysia.
“Dalam konteks ASEAN, Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) menetapkan peraturan asal usul yang merangkumi kriteria seperti kandungan nilai serantau (Regional Value Content), perubahan klasifikasi tarif dan pengumpulan asal usul (cumulation).
Katanya, penggunaan bahan mentah dari negara anggota ASEAN boleh diambil kira dalam penentuan asal usul produk akhir dalam keadaan tertentu, tertakluk kepada syarat perjanjian berkenaan.
“Pengusaha tidak boleh sekadar mencampurkan minyak dari Indonesia dengan minyak Malaysia dan kemudian melabelkannya sebagai ‘Buatan Malaysia’. Produk akhir perlu memenuhi syarat yang ditetapkan sebelum layak mendapat pengiktirafan asal usul Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) perlu meneliti dokumentasi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing bagi memastikan aktiviti pencampuran serta pengisytiharan asal usul mematuhi peraturan.
“Dokumen yang perlu diteliti termasuk rekod import dan eksport, sijil asal usul, jumlah minyak yang diimport, kuantiti minyak tempatan yang digunakan serta rekod proses pencampuran. Selain itu, aspek kebolehkesanan (traceability) juga penting bagi memastikan asal usul bahan mentah dapat dikenal pasti walaupun produk daripada negara berlainan telah dicampurkan.
“Walaupun produk akhir layak mendapat status asal Malaysia berdasarkan peraturan yang terpakai, rekod bahan mentah yang diimport dari Indonesia tetap perlu disimpan. Maklumat asal usul itu tidak boleh dihilangkan begitu sahaja selepas proses pencampuran dilakukan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya produk yang dicampur didapati tercemar, Malaysia berisiko menerima kesan buruk dari segi reputasi, penolakan kargo oleh pembeli serta kemungkinan berdepan tindakan undang-undang, bergantung pada keadaan dan pihak yang bertanggungjawab.
Madzli berkata pengisytiharan palsu juga boleh mengundang tindakan di bawah undang-undang berkaitan, termasuk Seksyen 133 Akta Kastam 1967 sekiranya unsur kesalahan di bawah peruntukan itu dipenuhi.
Sementara itu, Prof Adjung Nazery Khalid berkata, dokumentasi kargo yang telah dicampur perlu mencerminkan dengan tepat komposisi dan ciri-ciri baharu produk berkenaan bagi mengelakkan sebarang keraguan mengenai kandungannya.
Beliau berkata, perkara itu penting kerana sekiranya kargo yang telah dicampur didapati tercemar dan menimbulkan risiko kesihatan kepada pengguna selepas dieksport, Malaysia berisiko menerima kesan buruk terhadap reputasinya sekiranya produk itu dianggap berasal dari negara ini.
“Isu keracunan di Taiwan akibat minyak masak tercemar baru-baru ini harus dijadikan iktibar. Sebagai antara pengeluar minyak sawit utama dunia, Malaysia perlu memastikan minyak yang dieksport memenuhi standard kualiti dan integriti, selain memastikan proses pemprosesan, dokumentasi serta penghantarannya dilaksanakan secara teratur,” katanya.-UTUSAN











