Presiden Hal Ehwal Agama Masjidil Haram kecam serangan Houthi ke Mekah, Madinah - Utusan Malaysia

Presiden Hal Ehwal Agama Masjidil Haram kecam serangan Houthi ke Mekah, Madinah

SHEIKH ABDULRAHMAN AL-SUDAIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Ketua pengurusan tapak paling suci dalam Islam pada Ahad mengecam serangan berulang menggunakan peluru berpandu balistik dan dron oleh kumpulan Houthi dari Yaman ke arah Mekah dan Madinah.

Presiden Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais turut memberi amaran bahawa keselamatan dan kesucian Dua Masjid Suci merupakan garisan merah yang tidak boleh dilanggar.

Beliau berkata, serangan berterusan itu mendedahkan pendekatan jenayah kumpulan  berkenaan dan niat jahat mereka terhadap umat Islam dan tempat suci mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kenyataan yang disiarkan oleh Saudi Press Agency milik kerajaan, Al-Sudais menyifatkan serangan itu sebagai pencabulan nyata terhadap hukum syarak yang mewajibkan perlindungan tempat suci, selain mencemarkan norma kemanusiaan antarabangsa.

Kecaman itu menyusuli gelombang besar serangan rentas sempadan pada Sabtu, apabila sistem pertahanan udara Arab Saudi memintas dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan Houthi ke arah wilayah Mekah dan Madinah.

Direktorat Agung Pertahanan Awam Arab Saudi berkata, pasukan tindak balas mengendalikan kejadian serpihan peluru berpandu yang jatuh di beberapa kawasan di bahagian barat negara itu, termasuk Wadi Al-Mughammas di Mekah, kawasan Al-Nuzha di Jeddah, Wadi Jalil di Taif dan Pusat Masturah di Rabigh.

Walaupun serangan kembali berlaku, pihak berkuasa meneruskan langkah membuka semula sebahagian operasi Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh pada Ahad, dengan perkhidmatan terhad disambung semula dua minggu selepas serangan Houthi pada 10 Oktober mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain.

Pegawai lapangan terbang mengumumkan Terminal 1 dibuka semula bagi penerbangan domestik, manakala Terminal 2 untuk penerbangan antarabangsa yang dikendalikan syarikat penerbangan nasional. Penumpang turut dinasihatkan supaya mengesahkan jadual perjalanan masing-masing sebelum bertolak ke lapangan terbang.

Arab Saudi mengetuai gabungan ketenteraan memasuki Yaman pada Mac 2015 bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa selepas Houthi menawan Sanaa pada tahun sebelumnya. 

Konflik itu mengorbankan puluhan ribu nyawa dan mencetuskan antara krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.

Gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada April 2022 mengurangkan dengan ketara serangan rentas sempadan dan pertempuran berskala besar, meskipun usaha mencapai penyelesaian politik berkekalan masih rapuh.

Insiden terbaharu itu berlaku ketika ketegangan serantau semakin memuncak dan kebimbangan kembali timbul mengenai keselamatan Arab Saudi serta rantau Teluk yang lebih luas. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini