Pelapis negara perlu diburu sekarang

Pelapis negara perlu diburu sekarang

AKSI pemenang pingat emas acara Terjun 10 Meter Platform Seirama Wanita, Nur Eilisha Rania dan Nur Farisya Alia daripada Sarawak pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Pusat Akuatik Selangor. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebergantungan berterusan kepada atlet senior tanpa perancangan pembangunan pelapis yang sistematik boleh mengundang masalah besar kepada sukan berprestasi tinggi negara menjelang Sukan Asia Doha 2030.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, sudah tiba masanya Majlis Sukan negara (MSN) mengubah pendekatan dengan memberikan tumpuan lebih besar kepada pembangunan atlet sejak peringkat junior, bukan sekadar mengejar kejayaan menerusi atlet sedia ada.

Beliau berkata, tumpuan berlebihan terhadap atlet senior menyebabkan pembangunan bakat muda sering terpinggir, sedangkan tempoh karier seseorang atlet mempunyai batas dan prestasi mereka tidak semestinya kekal pada tahap tertinggi untuk beberapa temasya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seorang atlet tak boleh kita harapkan dia akan menyertai tiga atau empat Sukan Asia dan Olimpik. Kita perlu bersedia dengan pelapis untuk menggantikan tempat dia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, pembangunan pelapis tidak seharusnya bermula hanya selepas atlet utama bersara atau mengalami kemerosotan prestasi, sebaliknya perlu dilaksanakan seiring dengan perjalanan karier atlet berpengalaman.

Beliau mengambil contoh legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dan serta dalam sukan badminton, Datuk Seri Lee Chong Wei serta jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang, sebagai peringatan bahawa kegagalan menyediakan pengganti yang setanding boleh menyebabkan negara kehilangan kelebihan dalam acara yang sebelum ini dikuasai.

Katanya, setiap atlet berbakat yang dikenal pasti, termasuk menerusi Sukan Malaysia (SUKMA), perlu mempunyai laluan pembangunan jelas dengan sasaran prestasi, tempoh kemajuan dan pelan penggantian yang realistik.

“Bila kita dapat kenal pasti atlet itu, kita perlu ada laluan untuk dia. Kita perlu tahu kita mahu melatihnya untuk apa, sasaran dia sampai ke mana dan berapa lama dia boleh bertahan.

“Kita juga perlu sentiasa ada proses mencari bakat baharu. Tidak boleh apabila seorang atlet gagal mencapai sasaran, kita masih terus berharap kepadanya sehingga beberapa tahun terbuang tanpa membangunkan atlet lain,” katanya.

Mengulas persiapan menuju Sukan Asia Doha 2030, Pekan berkata, Malaysia juga tidak boleh terlalu bergantung kepada acara yang selama ini menjadi lubuk pingat kerana status pertandingan sesuatu sukan boleh berubah mengikut edisi temasya.

Beliau berkata, ketiadaan acara tertentu seperti skuasy pada temasya akan datang, sekiranya tidak dipertandingkan, tidak sepatutnya dijadikan alasan kepada kemerosotan kutipan pingat, sebaliknya menjadi peringatan supaya negara memperluas sumber pingat menerusi lebih banyak sukan.

“Kita kena bangunkan lebih banyak sukan yang boleh menyumbang pingat. Kenal pasti lebih ramai atlet berpotensi yang mampu bersaing di peringkat Asia dan berikan mereka tumpuan sewajarnya.

“Kita kena ubah hala tuju sukan berprestasi tinggi. Kita perlu meletakkan sasaran lebih tinggi, bukan sekadar sasaran selamat atau bergantung kepada pencapaian di luar jangka,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini