Pas parti politik, bukan agama - Aziz Bari

Pas parti politik, bukan agama – Aziz Bari

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pas hanya sebuah parti politik, bukannya agama seperti mana kenyataan pemimpin parti itu yang menggambarkan bahawa menyokong parti itu adalah satu kewajipan bagi orang Islam.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, Pas adalah sebuah parti politik yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan iaitu sebuah organisasi.

Menurutnya, tidak semua yang parti itu sebut adalah prinsip Islam, sebahagiannya malah tidak selari bahkan bertentangan dengan ajaran Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perlu dinyatakan bahawa di Malaysia ada parti-parti yang berunsurkan Islam, baik secara langsung melalui nama rasmi, perlembagaan atau perjuangan mereka.

“DAP sendiri telah menyatakan komitmen untuk menjunjung kedudukan Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi dalam negara.

“Justeru kedudukan dan isu Islam bukan monopoli Pas. Bahkan semua program dan dasar Islam seperti Tabung Haji, Universiti Islam, sistem kewangan Islam dan pemerkasaan mahkamah syariah bukan legasi Pas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi ini berkata, ketika Pas terlibat dalam kerajaan Persekutuan pada 1974 – 1977 dan 2020 – 2022, tiada program besar yang kekal sehingga sekarang.

Menurutnya, Pas malah gagal membawa Rang Undang-Undang (RUU) 355 berhubung dengan Mahkamah Syariah ke Parlimen.

Katanya, sehingga sekarang retorik Pas tentang negara Islam dan pelaksanaan hudud tidak kedengaran lagi.

“Bahkan ada sumber mengatakan Pas telah meninggalkan retorik hudud dan negara Islam. Pendeknya, Pas tidak berbeza daripada parti-parti lain yang Pas labelkan sebagai parti sekular.

“Pada hakikatnya, Pas juga parti politik sekular kerana mereka menyebarkan fitnah sesuka hati. Ini dapat dilihat dalam kes-kes mahkamah yang Pas kalah di mahkamah,” katanya.

Menurutnya, ada pimpinan Pas yang mendakwa menyokong Pas boleh menjamin syurga, ada juga yang mendakwa bahawa mereka yang tidak menyokong Pas kerana mereka tidak sayangkan Islam.

“Seorang pemimpin Pas Pahang mendakwa menyokong Pas boleh membawa berkat ke negeri itu.

“Rakyat perlu tahu rekod dan prestasi Pas. Pas tidak ada kemampuan untuk memerintah negara,” katanya.

Abdul Aziz berkata, sebaliknya pelbagai pencapaian di bawah pentadbiran kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus dijadikan bukti bahawa sokongan terhadap kerajaan yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan (PH) perlu diteruskan.

Katanya, baik kedudukan dan kepentingan umat Islam atau prestasi ekonomi semuanya begitu baik dan menggalakkan, begitu juga dengan kedudukan Sabah dan Sarawak.

“Ia memang tidak sempurna, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah terutama dalam suasana geopolitik yang tidak menentu. Pas dan rakan nya telah diberi peluang sebelum ini dan mereka terbukti gagal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini