KOTA KINABALU: Tindakan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik dan menghina lambang kedaulatan negara di luar negara menjejaskan reputasi rakyat Malaysia yang belajar serta bekerja di negara berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, perbuatan sedemikian tidak mencerminkan budaya masyarakat Sabah dan Sarawak yang terkenal dengan adab serta kesantunan.
Beliau berkata, tindakan sekumpulan rakyat Malaysia itu juga tidak seharusnya menjadi pendekatan dalam memperjuangkan sesuatu isu, sebaliknya rakyat boleh menilai hasil yang dicapai melalui rundingan dan tindakan.
“Rakyat boleh menilai sendiri hasil perjuangan melalui rundingan dan tindakan berbanding provokasi sebegini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mustapha berkata, Kerajaan MADANI sentiasa menjamin kebebasan bersuara, namun kebebasan itu tidak bermakna seseorang terlepas daripada implikasi undang-undang atas tindakan yang dilakukan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai membuat aduan rasmi kepada pihak polis supaya kandungan media sosial yang memaparkan Jalur Gemilang secara terbalik dapat disiasat mengikut undang-undang.
Media sebelum ini melaporkan tular satu jemputan di Facebook bagi mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan Parlimen Victoria, Melbourne, Australia bertarikh 24 Oktober lepas.
Jemputan terbabit ditularkan oleh kumpulan yang mendakwa sebagai kerajaan dalam buangan (government in exile).
Mustapha sebelum ini dilaporkan pihaknya bersedia mengadakan perbincangan dengan kumpulan terbabit bagi memahami isu dibangkitkan, termasuk berkaitan pelaksanaan MA63. – UTUSAN











