KUALA LUMPUR: Kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly, 42, dalam tahanan polis wajar disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) dan peguam keluarga, Rania Aljunied berkata, kenyataan polis tidak menemui sebarang kecederaan pada organ dalaman Noorizwan tidak boleh diterima.
Menurutnya, kenyataan dikeluarkan Bukit Aman itu bercanggah dengan pembentangan hasil dapatan bedah siasat yang sudah dimaklumkan pakar patologi kepada keluarga termasuk PDRM.
“Dakwaan Bukit Aman bahawa Noorizwan tidak mengalami sebarang kecederaan organ dalamannya adalah palsu dan bercanggah dengan penemuan pakar patologi.
“Pakar patologi menemui pendarahan menyeluruh di dalam otak. Ini adalah kecederaan dalaman yang amat serius dan boleh menyebabkan kematian.
“Terdapat juga pendarahan di bahagian usus dan gambar-gambar bedah siasat jelas menunjukkan kecederaan-kecederaan ini. Pihak polis sedia maklum berhubung kecederaan dalaman ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru beliau mempertikaikan bagaimana PDRM boleh menyatakan tidak menemui kecederaan organ dalaman walaupun sudah dibentangkan dengan bukti dan fakta sedemikian.
Katanya, kenyataan PDRM berhubung punca kematian juga tidak dapat diterima dan hanya mengelirukan orang ramai.
“Berdasarkan laporan bedah siasat dimaklumkan kepada pihak keluarga, jelas punca kematian adalah akibat trauma objek tumpul di kepala.
“Punca kematian ialah trauma tumpul di kepala juga sudah dimaklumkan kepada pihak polis di hadapan keluarga. Penemuan trauma tumpul ini tidak boleh diubah oleh analisis makmal ke atas sampel darah dan sampel lain yang masih belum selesai.
“Mengapakah Bukit Aman berlengah-lengah dan membayangkan kepada orang ramai bahawa punca kematian masih belum pasti? Ini sama sekali tidak boleh diterima oleh keluarga,” katanya.
Rania menegaskan hasil dapatan forensik berkenaan sudah cukup jelas untuk mewajarkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 dan menuntut campur tangan daripada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Tindakan merujuk siasatan ke Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) tidak membawa apa-apa kesan kepada keluarga Allahyarham kerana agensi itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat jenayah berdasarkan Seksyen 25(b) Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.
“Oleh itu pihak keluarga Noorizwan menuntut campur tangan Peguam Negara supaya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan siasatan diambil alih oleh pasukan khas dari Bukit Aman yang dilantik oleh Ketua Polis Negara.
“Kami menuntut anggota polis yang disyaki terbabit digantung tugas dan ditahan dengan segera bagi memastikan bukti dipelihara dan KPN menjelaskan mengapa Bukit Aman mendakwa tiada kecederaan dalaman sedangkan bedah siasat menunjukkan sebaliknya,” katanya.











