MELAKA: Barisan Nasional (BN) Melaka mempertaruhkan lapan muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, sekali gus memberi peluang kepada barisan calon baharu untuk meneruskan khidmat kepada rakyat di kawasan yang ditandingi.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pemilihan calon baharu itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk keperluan memastikan kesinambungan khidmat kepada rakyat serta memberi ruang kepada individu lain memikul amanah sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata, keputusan berkenaan bukan bermaksud calon terdahulu digugurkan, sebaliknya parti mengambil pendekatan memilih calon yang diyakini mampu meneruskan agenda pembangunan dan khidmat kepada masyarakat.
“Dewan telah dibubarkan. Jadi, kita memilih calon-calon baharu yang boleh meneruskan khidmat kepada rakyat tempatan.
“Ada dalam kalangan mereka yang tidak mahu lagi meneruskan jawatan dan kita berpandangan perlu memberikan ruang kepada muka-muka baharu untuk terus memberikan khidmat di kawasan yang telah kita kaji,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, malam ini yang turut dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pengumuman calon-calon tersebut telah dibuat oleh Ab. Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka.
Lapan muka baharu itu ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid di Lendu, Ahmad Norazril Abd. Aziz di Rembia, S. Nadaraja (Gadek), Datuk Dr. Mustafa Musa (Durian Tunggal) dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Azman Abdullah (Serkam).
Turut disenaraikan ialah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin, Jezlee Pitt (Sungai Rambai); Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Siti Aisyah Mahmood (Pengkalan Batu) dan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Ridhuwan Mohd. Ali (Ayer Molek).
Sementara itu 13 penyandang yang kekal selain Ab. Rauf di Tanjung Bidara ialah Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Fairul Nizam Roslan di Asahan; Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin bertukar ke Sungai Udang; Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman di Telok Mas dan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh kekal di Merlimau.
Antara yang turut dikekalkan ialah Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (Ayer Limau), Datuk Zulkiflee Md. Zain (Taboh Naning), Datuk Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) dan Datuk Tuminah Kadi (Pantai Kundor).
Bagi kerusi lain pula Datuk Lim Ban Hong di Klebang, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem (Duyong) dan Datuk Khaidirah Abu Zahar (Rim).
Dalam pada itu tujuh kerusi yang tidak ditandingi oleh UMNO ialah Paya Rumput, Ayer Keroh, Bemban, Kesidang, Kota Laksamana, Banda Hilir dan Bukit Katil yang akan diwakili oleh Pas serta rakan strategik.
Menurut Ab. Rauf, pemilihan calon turut mengambil kira keupayaan mereka meneruskan agenda yang dilaksanakan kerajaan negeri pada penggal lalu, selain memperkenalkan pendekatan baharu sekiranya BN diberi mandat mentadbir Melaka selepas PRN.
Katanya, BN yakin rekod khidmat yang diberikan kepada rakyat menerusi pelbagai pendekatan pentadbiran kerajaan menjadi antara asas penting untuk mendapatkan kepercayaan pengundi.
“Dalam faktor keyakinan rakyat ini, kita telah memberikan khidmat kepada rakyat melalui pelbagai kaedah pentadbiran kerajaan yang turun kepada rakyat.
“Kita lihat mereka masih boleh meneruskan agenda-agenda yang telah kita buat pada penggal lepas untuk kita teruskan agenda baharu pada penggal akan datang,” katanya. – UTUSAN











