PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing berpeluang menamatkan penantian 26 tahun untuk kembali menyaksikan wakil Malaysia merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Tremblay-en-France, Perancis, esok.
Pasangan ke-31 dunia itu beraksi cemerlang menyingkirkan juara Terbuka China yang juga beregu No. 6 dunia, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dari China 21-13, 21-9 dalam masa 31 minit pada separuh akhir, hari ini.
Kali terakhir beregu campuran Malaysia mara ke perlawanan akhir dan menang gelaran di Perancis adalah pada edisi 2000 menerusi Chan Chong Ming-Joanne Quay.
Kemenangan tersebut bakal menemukan Pang Ron-Pei Jing dengan beregu No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping juga dari China.
Pang Ron berkata, keadaan fizikal yang lebih baik berbanding lawan menjadi antara faktor utama kejayaan mereka memanfaatkan kesempatan untuk terus mengasak dan meningkatkan tekanan sepanjang perlawanan.
“Keadaan kami hari ini sedikit lebih baik berbanding lawan dan peluang itu kami gunakan untuk terus menekan mereka sehingga ke hujung permainan,” katanya kepada wakil BWF selepas perlawanan berakhir.
Pang Ron mengakui gembira dengan pencapaian itu, terutama apabila mereka berjaya mencatat keputusan konsisten dengan mara ke separuh akhir dan final secara berturut-turut pada Jelajah Dunia BWF bermula daripada China Masters.
Jelasnya, pencapaian tersebut memberikan keyakinan tambahan kepada dia dan Pei Jing untuk terus memperbaiki prestasi bagi memburu kejayaan lebih besar dalam final esok.
“Kami sudah tentu sangat gembira dengan pencapaian ini kerana buat pertama kali saya berjaya mara ke separuh akhir dan final secara berturut-turut. Saya berharap kami dapat melakukan lebih baik esok,” ujarnya.
Sementara itu, Pei Jing memberitahu, mereka lebih menumpukan perhatian terhadap corak permainan sendiri, selain berusaha mengekalkan momentum dan mengurangkan kesilapan mudah.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan mereka menguasai perlawanan dengan lebih baik sekali gus menyekat peluang pasangan China untuk bangkit memberikan tentangan.
Kejayaan mara ke final pada kejohanan berstatus Super 750 itu, turut menyaksikan Pang Ron-Pei Jing mencapai final kedua mereka dalam tempoh dua bulan selepas turut beraksi di pentas akhir Terbuka China sebelum ini. – UTUSAN











