PETALING JAYA: Kejayaan meraih emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak membuatkan jaguh karate negara, Adeola Fay Robert, berasa selesa apabila kini meletakkan misi memperbaiki prestasi sebagai keutamaan menjelang Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 di Kuala Lumpur, Disember ini.
Atlet berusia 20 tahun itu mahu menjadikan kejayaan di pentas Asia sebagai pembakar semangat untuk tampil lebih mantap pada kejohanan berikutnya, apatah lagi AUG bakal menjadi penampilan sulungnya dalam temasya berkenaan.
“Selepas ini saya akan teruskan latihan juga sebab banyak perlu diperbaiki lagi, banyak saya perlu tingkatkan untuk kejohanan akan datang iaitu Sukan Universiti ASEAN.
“Sukan Asia ini memang selepas menang memberikan saya lebih motivasi untuk pergi ke kejohanan seterusnya, selain meningkatkan keyakinan dan semangat untuk bertanding,” katanya.
Atlet kelahiran Tambunan, Sabah itu mencipta kejutan di Aichi-Nagoya apabila menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 dalam final kumite wanita bawah 55 kilogram (kg), sekali gus menghadiahkan emas pertama Malaysia pada temasya itu.
Namun, kejayaan tersebut tidak menjadikan atlet muda itu memandang mudah cabaran seterusnya apabila dia sedar persiapan rapi masih diperlukan untuk memastikan prestasi terbaik dapat diterjemahkan ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“AUG ini juga kejohanan pertama saya, jadi saya memang akan fokus dan memberikan prestasi terbaik.
“Lebih-lebih lagi kejohanan berlangsung di tanah air kerana saya sudah biasa dengan persekitaran latihan di sini, jadi saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya.
Malaysia bakal menjadi tuan rumah AUG dari 10 hingga 19 Disember ini, dengan pertandingan berlangsung di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, sekali gus memberikan peluang kepada atlet negara memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Bagaimanapun, Adeola tidak mahu terlalu memikirkan reputasi lawan atau meletakkan dirinya di hadapan pencabar lain, sebaliknya memilih untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan dan kemampuan sendiri.
“Saya memang fokus pada diri saya sahaja dan tidak merendahkan mana-mana pihak. Sasaran saya adalah untuk memberikan prestasi terbaik,” katanya. – UTUSAN











