Bimbang fitnah bantu ibu tunggal
SOALAN
Bolehkah saya membantu seorang ibu tunggal yang ada anak? Niat saya kerana kasihankan wanita itu menanggung anaknya tetapi ada menuduh saya ingin mengambil kesempatan sedangkan saya bimbangkan ada institusi bukan Islam lain membantu dan menariknya mengikuti mereka.
Fikri
Kajang
Jawapan
Membantu adalah tidak salah kerana ia termasuk di dalam taawun di atas kebaikan. Namun sekiranya terdapat ‘bunyi-bunyi’ yang tidak baik, bolehlah menghulurkan bantuan itu dengan mewakilkan kepada orang lain, atau orang yang mewakilkan itu seorang wanita agar tidak timbul fitnah dan sebagainya.
Beritahu keluarga tabiat berjudi
SOALAN
Saya pernah terlihat rakan saya berjudi. Saya terkejut dan bimbang wang judi berkenaan dibawa balik untuk menyara keluarganya. Perlukah saya memberitahu isteri atau keluarganya?
Ingin tahu
Kepala Batas
Jawapan
Sekiranya tuan merasakan terdapat maslahah yang kuat barulah memberitahu kepadanya. Namun jika isterinya tiada pendapatan melainkan suaminya, maka diharuskan mengambil nafkah suaminya kerana darurat.
Terlibat ritual agama lain
SOALAN
Baru-baru ini ada isu orang Islam terlibat dalam ritual agama lain. Setahu saya perbuatan ini diharamkan Islam kerana dibimbangi akan tergelincir akidah. Adakah status akidah dan agama orang yang melakukannya?
Raniqah
Kuala Selangor
Jawapan
Perbuatan mengamalkan ritual agama lain adalah haram dan berdosa besar. Adapun untuk menghukum kedudukan agamanya perlu kepada pendakwaan dan hukuman hakim.
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar e-mel kepada [email protected].UTUSAN











