PETALING JAYA: Sebuah kapal tangki yang ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai cuba menyeludup 1.16 tan ketamin dimiliki oleh sebuah syarikat yang berdaftar di Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua pengarah syarikat yang terbabit dalam pemilikan kapal MT Global 168 itu merupakan warga Malaysia.
Beliau berkata, pejabat syarikat berkenaan pula beralamat di Johor Bahru, Johor.
Menurutnya, kapal itu pernah memohon pendaftaran di bawah bendera Malaysia namun masih belum didaftarkan dan ketika ini menggunakan bendera Mongolia.
“Kapal itu didaftarkan atas nama dua pengarah warga Malaysia yang masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an tahun.
“Kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kami akan memanggil mereka bagi bantu siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum ini, Hussein memaklumkan pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada Polis Republik Indonesia (Polri) berhubung rampasan 1.16 tan dadah jenis ketamin HCL bernilai hampir RM60 juta daripada sebuah kapal tangki yang bergerak dari perairan negara ini.
Kapal tersebut dipercayai dikesan melakukan pergerakan luar biasa sejak 14 hingga 18 Oktober lalu sebelum ditahan di perairan Tanjung Balai Asahan.
Kapal ini dipercayai berangkat dari tempat berlabuh di Pasir Gudang, Johor dan singgah di Pelabuhan Klang untuk mengisi bahan bakar sebelum bergerak menuju Laut Andaman.
Bagi mengaburi pihak berkuasa, kru kapal telah mematikan Automatic Identification System (AIS) selama tiga hari.
Terdahulu, lapan kru kapal membabitkan tujuh warga Indonesia dan seorang China ditahan pada Selasa lalu.
Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto dilaporkan berkata, pihak berkuasa mula menjejaki pergerakan
kapal berkenaan sejak Ogos lalu selepas menerima maklumat risikan mengenai aktiviti mencurigakan. – UTUSAN











