PUTRAJAYA: Aktiviti sukan menembak menjadi antara pengisian Program Advanced Leadership and Management Programme (ALMP) Siri 89 Bil. 4/2026 bagi menguji keupayaan kepimpinan, pengurusan dan penyelarasan program dalam kalangan pegawai pengurusan tertinggi sektor awam.
Program ALMP yang berlangsung selama sebulan itu memberi peluang kepada peserta merancang dan mengendalikan aktiviti secara sistematik, selain menerapkan nilai kepimpinan, disiplin serta pematuhan terhadap prosedur dan peraturan yang ditetapkan.
Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Dr. Mohd. Zabri Yusoff berkata, aktiviti berkenaan bukan sekadar memberi pendedahan kepada sukan menembak malah menjadi platform pembelajaran praktikal untuk mengasah kemahiran peserta dalam mengurus dan melaksanakan sesuatu program.
Menurutnya, aspek perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan perlu diberi perhatian bagi memastikan setiap aktiviti berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.
“Antara perkara yang kita tekankan ialah bagaimana peserta merancang program dari awal, memastikan taklimat keselamatan diberikan serta perjalanan aktiviti dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Perkara ini penting kerana apabila mereka kembali ke agensi masing-masing, mereka perlu memastikan setiap program dan urusan pentadbiran dilaksanakan mengikut prosedur serta peraturan,” katanya ketika ditemui di Lapang Sasar Shapadu, Presint 20, Putrajaya, di sini hari ini.
Katanya, aspek keselamatan, disiplin dan pematuhan peraturan yang diterapkan menerusi aktiviti itu merupakan elemen penting dalam membentuk kepimpinan yang berkesan.
Katanya, pendekatan pembelajaran secara praktikal membolehkan peserta memahami bahawa setiap program memerlukan perancangan rapi, penyelarasan berkesan dan pelaksanaan yang teratur bagi memastikan matlamat dapat dicapai.
“ALMP merupakan program pembangunan kompetensi yang memberi penekanan terhadap penilaian kepimpinan serta pengukuhan kemahiran pengurusan dalam kalangan pegawai kanan sektor awam termasuk penjawat awam gred JUSA C.
“Program ini menghimpunkan pegawai daripada pelbagai skim perkhidmatan dan latar belakang profesional, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian pengalaman serta pembinaan jaringan kerjasama merentas jabatan dan agensi kerajaan,” jelasnya.
Menurut Mohd. Zabri, hubungan profesional yang terjalin sepanjang program perlu dimanfaatkan apabila peserta kembali bertugas di agensi masing-masing khususnya bagi memperkukuh kerjasama dan kolaborasi dalam pelaksanaan tanggungjawab bersama.
“Harapan kita apabila mereka kembali ke agensi masing-masing, hubungan yang dibina sepanjang program ini dapat dimanfaatkan khususnya dalam kalangan pengurusan tertinggi bagi mengukuhkan jaringan kerjasama dan kolaborasi.
“Secara keseluruhannya, penganjuran aktiviti sukan menembak itu mencerminkan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam pembangunan kepimpinan sektor awam dengan penekanan terhadap keupayaan merancang, membuat penyelarasan, mematuhi prosedur dan bekerja secara berpasukan,” katanya. – UTUSAN











