Segerakan reformasi elak lebih ramai mati dalam tahanan - Sivamalar

Segerakan reformasi elak lebih ramai mati dalam tahanan – Sivamalar

Mati dalam tahanan
G. SIVAMALAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Reformasi pengurusan tahanan wajar disegerakan termasuk memperketat pengawasan lokap dan memastikan kebajikan keselamatan tahanan susulan kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly, pada 1 Oktober lalu.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, G. Sivamalar berkata, nasib yang diterima oleh mangsa seolah-olah seperti suatu hukuman sedangkan penahanan adalah untuk siasatan dan tiada sesiapa pun boleh dinafikan hak mendapat perlindungan undang-undang hanya kerana disyaki melakukan kesalahan.

Beliau berkata, berdasarkan angka yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Rakyat pada 8 Julai lalu, sebanyak 12 kes direkodkan pada 2023, meningkat kepada 13 kes pada 2024 dan 22 kes pada 2025.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai seorang Peguam, saya banyak terlibat dalam perjuangan menentang kematian dalam tahanan sebelum menyertai politik. Pendirian saya tidak pernah berubah.

“Ketika menjadi pembangkang, kita menolak penyalahgunaan kuasa, mempertahankan hak peguam dan menuntut tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, tiada kecederaan pada organ dalaman dilapor ditemukan pada Allahyarham Noorizwan Zulkefly, yang meninggal dunia semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid berkata, itu adalah dapatan hasil daripada bedah siasat dijalankan pihak forensik dan menjelaskan hanya kecederaan luaran ditemui pada tubuh Noorizwan, 42.

Jelas Sivamalar, kenyataan siasatan sedang berjalan tidak memadai apabila jawapan yang jelas berhubung punca kejadian kematian dalam tahanan itu perlu didedahkan.

“Saya berdiri teguh bersama keluarga Noorizwan dalam menuntut kebenaran berhubung kematiannya dalam tahanan. Dakwaan peguam keluarganya mengenai 21 kecederaan, termasuk kecederaan akibat objek tumpul pada tubuh arwah, memerlukan penjelasan daripada polis.

“Ketua Polis Negara mesti memastikan semua bukti diperiksa dan tiada sesiapa dilindungi daripada siasatan. Sebarang kecuaian dan salah laku yang dikenal pasti mesti disusuli tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab,” tegasnya.

Katanya lagi kehilangan Noorizwan tidak mungkin dapat diganti, tetapi keluarga berhak mengetahui kebenaran, mendapat pembelaan dan melihat keadilan ditegakkan.

“Kerajaan Madani memikul tanggungjawab moral untuk memastikan keluarga ini tidak dibiarkan berjuang sendirian mencari keadilan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini