Rampasan 1.16 tan dadah, PDRM dapatkan maklumat POLRI

Rampasan 1.16 tan dadah, PDRM dapatkan maklumat POLRI

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Polis Republik Indonesia (POLRI) susulan rampasan 1.16 tan dadah jenis ketamin HCL bernilai hampir RM60 juta daripada sebuah kapal tangki di perairan negara itu, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah dimaklumkan penahanan kapal MT Global 168 itu oleh pihak berkuasa Indonesia.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan POLRI bagi mendapatkan butiran lanjut kes ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia bagi mendapatkan maklumat risikan lain yang berkaitan sekiranya terdapat sebarang penglibatan ahli sindiket yang beroperasi di Malaysia,” katanya kepada media di sini hari ini.

Tambah Hussein, berdasarkan maklumat daripada POLRI, kapal tersebut dipercayai dikesan melakukan pergerakan luar biasa sejak 14 hingga 18 Oktober lalu sebelum ditahan di perairan Tanjung Balai Asahan. 

Katanya, kapal itu dipercayai bergerak dari tempat ia berlabuh di Pasir Gudang, Johor dan singgah di Pelabuhan Klang untuk mengisi bahan bakar seterusnya menuju Laut Andaman. 

“Kapal ini melakukan transaksi kapal ke kapal atau ‘ship-to-ship’ di tengah laut.

“Bagi mengaburi pihak berkuasa, krew kapal telah mematikan Automatic Identification System (AIS) selama tiga hari. Pihak berkuasa mencurigai pergerakan kapal ini yang melakukan corak berpusing di Perairan Luar Pesisir Barat Thailand sebelum menuju ke Laut Andaman,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa Indonesia merampas 58 guni mengandungi 1,160 bungkusan dadah seberat 1.16 tan susulan penahanan lapan kru kapal iaitu tujuh warga Indonesia dan seorang warga China, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto dilaporkan berkata, pihak berkuasa mula menjejaki pergerakan kapal berkenaan sejak Ogos lalu selepas menerima maklumat risikan mengenai aktiviti mencurigakan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini