SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) yakin calon yang bakal diumumkan malam ini berupaya membawa kemenangan kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau percaya calon yang dipilih bukan sahaja berkaliber, malah mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya diberi mandat.
Katanya, beliau tidak mengetahui sama ada senarai calon itu akan menampilkan muka baharu kerana pemilihan calon dibincangkan secara langsung antara Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya tidak pasti kerana Ketua Menteri berbincang secara langsung dengan Pengerusi mengenai calon-calon yang akan dipilih. Senarai calon ini disimpan begitu rapi sehingga diumumkan malam ini.
“Tetapi kami yakin calon-calon yang diketengahkan nanti berkaliber dan mampu membawa kemenangan kepada BN, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Sumbangan Deepavali kepada penerima Peringkat Dewan Udangan Negeri (DUN) Rantau di Rantau, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, PRN Melaka juga penting sebagai persediaan BN menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Jadi, apabila ada wakil rakyat daripada BN, mudahlah untuk kita menguruskan pula apabila pilihan raya peringkat Parlimen nanti, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan BN akan berkongsi pentas dengan Pas untuk mengumumkan calon masing-masing, malam ini.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata Majlis pengumuman calon BN diadakan serentak dengan pelancaran jentera parti itu pada pukul 8 malam ini di Dewan Utama Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). – UTUSAN











