Status penjawat awam Mohd. Shuhaily ditentukan KSN, KSU kementerian - Utusan Malaysia

Status penjawat awam Mohd. Shuhaily ditentukan KSN, KSU kementerian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Status Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain sebagai penjawat awam ditentukan mengikut peraturan pentadbiran awam sedia ada selepas berdepannya pendakwaan mahkamah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu akan ditentukan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan juga Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Penjawat awam ini tertakluk kepada pentadbiran, kerana pentadbiran awam mempunyai peraturan untuk menguruskan keadaan sedemikian. Dalam kes ini, kedudukan beliau (Mohd. Shuhaily) akan ditentukan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung kedudukan Mohd. Shuhaily yang berdepan pendakwaan di mahkamah, baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian pada Program Kampung Angkat Madani di Kampung Melayu Sedenak, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Rabu lalu, Mohd. Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Mahkamah Majistret Sepang.

Selaku orang kena saman (OKS), beliau dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Saifuddin Nasution turut menyambut baik teguran segelintir pihak termasuk oleh pemimpin pembangkang yang mendakwa beliau gagal memainkan peranan sebagai orang tengah sehingga menyebabkan kes berkenaan diheret ke mahkamah.

“Saya menyambut baik teguran terutamanya yang datang daripada Ahli Parlimen pembangkang yang parti mereka sendiri pun berpecah dan berkecai disebabkan kegagalan mereka menjadi pendamai.

“Sebagai contoh Machang, parti mereka pecah dua iaitu satu menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan satu lagi menyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin, malah PAS juga pernah berpecah sehingga melahirkan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Hakikat bahawa perpecahan berlaku sehingga melahirkan parti baharu adalah akibat kegagalan mereka untuk menjadi pendamai, namun begitu saya tetap menerima baik teguran tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini