FLORIDA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menegaskan komitmen untuk menangani isu berkaitan Cuba sebaik sahaja perang di Iran selesai.
Walaupun perang di Iran masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, Trump terus mengambil tindakan tegas terhadap Cuba sebagai sebahagian daripada tekanan berterusan AS terhadap kerajaan komunis negara itu, selepas menggulingkan pemimpin Venezuela awal tahun ini.
Trump yang meraih 68 peratus sokongan pengundi warga AS keturunan Cuba di Florida pada Pilihan Raya 2024, berseloroh armada tentera laut AS dari Iran akan singgah di perairan Cuba dalam perjalanan pulang.
“Kami akan meminta salah sebuah kapal berhenti kira-kira 50 ela dari pesisir pantai. Mereka akan menyerah diri dan kemudian kita akan menghantar Marco Rubio untuk memuktamadkan perjanjian itu,” katanya ketika berucap di Florida semalam.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang juga bekas Senator dari Florida merupakan individu utama yang mengendalikan sebahagian besar dasar berkaitan Cuba di bawah pentadbiran Trump.
“Kepada mana-mana pihak yang mahu membawa perubahan positif di Cuba, inilah masanya,” kata Rubio menerusi hantaran di platform X pada Jumaat.
Perhimpunan kempen Trump itu bertujuan melonjakkan sokongan terhadap calon Parti Republikan, Byron Donalds, yang bertanding bagi jawatan Gabenor Florida menentang calon Parti Demokrat, David Jolly.
Sejak memasuki penggal kedua pentadbirannya, Trump memperhebat tekanan ke atas Cuba.
Pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) September lalu, beliau menggelar Cuba sebagai negara gagal dan menegaskan ‘kebebasan’ bakal tiba di Cuba hingga menyebabkan delegasi Cuba bertindak keluar dari dewan.
Trump secara terbuka menyatakan matlamatnya untuk mengubah struktur kerajaan Cuba. Sekatan minyak yang dikenakan AS telah menjejaskan ekonomi negara itu, sekali gus memburukkan lagi krisis kekurangan bahan api serta gangguan bekalan elektrik.
Pakar hak asasi manusia PBB mengecam sekatan minyak berkenaan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa, manakala aktivis menyifatkan ancaman pentadbiran Trump sebagai pendekatan berunsur imperialisme.- AGENSI











