Pas jumpa Abu Bakar selesai kemelut Perlis

Pas jumpa Abu Bakar selesai kemelut Perlis

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dalam masa terdekat bagi mencari jalan penyelesaian kemelut pentadbiran kerajaan negeri itu susulan penggantungan keahlian beliau dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selama dua penggal pemilihan parti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perbincangan akan tertumpu kepada usaha mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah antara kedua-dua parti yang menjadi tunjang pemerintahan di negeri tersebut.

“Di Perlis pun kita masih berbincang dengan kerajaan negeri sebab kita masih lagi sebahagian daripada kerajaan. Jadi kita akan berbincanglah cara yang sebaiknya dengan MB Perlis dalam Waktu terdekat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sudah tulis surat kepada MB Perlis. Kita minta berbincang,” katanya pada sidang media selepas program Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) sempena Karnival Rakyat Kelantan 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Kota Bharu memberitahu, sehingga kini Pas masih lagi menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Perlis, sungguhpun tiada wakilnya yang memegang jawatan di dalam barisan Exco.

Katanya yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Pas masih lagi penyokong kerajaan di negeri berkenaan, di atas nama PN dan tanpa keberadaannya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Tanpa kita (Pas), Bersatu hanya ada lima kerusi, sedangkan mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan kerusi untuk membentuk kerajaan. Pas ada enam kerusi dan Pakatan Harapan (PH) ada satu kerusi.

“Dengan sokongan Pas, Bersatu boleh bentuk kerajaan dengan 11 kerusi daripada keseluruhan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ,” ujarnya.

Takiyuddin memberitahu, penggantungan keahlian Bersatu terhadap Abu Bakar tidak bermakna beliau keluar daripada Bersatu dan masih kekal sebagai ahli parti berkenaan.

“Dia (Abu Bakar) tidak boleh masuk parti lain. Jika tidak nanti jadi lompat parti,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Abu Bakar menegaskan kedudukannya sebagai Menteri Besar bukan bergantung di tangan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mahu pentadbiran kerajaan negeri kekal sehingga akhir penggal mesti dihormati.

Beliau mengingatkan agar pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis tidak diganggu gugat dengan sebarang usaha undi tidak percaya, khususnya menjelang pembentangan Belanjawan Perlis 2027 yang dijadualkan pada bulan depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini