WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, tidak menolak kemungkinan melancarkan satu lagi operasi ketenteraan terhadap Iran ketika perang itu menghampiri bulan kelapan, dalam perkembangan yang boleh meningkatkan ketegangan serantau menjelang pilihan raya pertengahan penggal negara itu.
“Kita mungkin melancarkan satu lagi operasi kecil Epic Fury,” katanya ketika berucap pada rapat umum di Florida semalam, tanpa memberikan penjelasan lanjut.
Epic Fury ialah nama yang digunakan oleh tentera AS bagi operasi ketenteraannya terhadap Iran.
Terdahulu pada hari sama, Trump berkata perang itu boleh ditamatkan dalam masa singkat, namun mempersoalkan sama ada Washington perlu menamatkannya segera atau membiarkan konflik berkenaan reda secara beransur-ansur.
Kenyataan terbaharu itu dibuat ketika kenaikan harga bahan api turut memberi tekanan politik kepada pentadbiran Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November, yang bakal menentukan penguasaan Kongres.
Trump sebelum ini beberapa kali mengubah matlamat dan tempoh masa perang itu. Awal bulan ini, beliau berkata AS tidak akan melancarkan serangan terhadap Iran sebelum pilihan raya berkenaan.
Konflik yang membabitkan serangan AS dan Israel terhadap Iran serta serangan Israel ke atas Lubnan itu telah mengorbankan ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.- AGENSI











