SUNGAI PETANI: Kisah remaja lelaki 14 tahun yang terpaksa ponteng sekolah demi menjaga ibu terlantar sakit sejak tiga bulan lalu disiarkan akhbar ini pada 21 Oktober lalu, mula mendapat perhatian pelbagai pihak.
Siti Hajar Abdullah, 43, ibu kepada Muhammad Elias Bahari Maskeri berkata, sejak berita itu disiarkan Utusan Malaysia, pelbagai pihak termasuk Pejabat Zakat Daerah Kuala Muda dan orang ramai tidak putus berkunjung ke rumah sewa mereka di Kampung Bakar Kapor, di sini.
“Saya hanya mampu bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin terutama pihak Utusan Malaysia kerana kami menerima bantuan makanan dan wang yang dapat meringankan beban.
“Sumbangan yang diterima akan digunakan sebaiknya selain saya akan simpan juga untuk besarkan anak-anak kerana mungkin keadaan kaki saya tidak lagi sekuat dulu untuk melakukan kerja yang memerlukan banyak berjalan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff yang bukan sahaja menziarahi mereka, sebaliknya membawa khabar gembira apabila berjanji untuk menyediakan pembantu bagi urusan seharian.
“Saya tak dapat luahkan dengan kata-kata atas keprihatinan Datuk Shahanim yang akan cari pembantu menjaga kebajikan seharian saya dan anak kecil bagi membolehkan Muhammad Elias kembali bersekolah dalam masa terdekat,” katanya.
Selain ibunya, Muhammad Elias Bahari turut menjaga anak bongsunya, Siti Nur Ain yang baru berusia setahun lima bulan selepas mereka kematian bapa, manakala abangnya berusia 16 tahun dan adik lelaki berusia sembilan tahun tinggal di Langkawi bersama nenek.
Siti Hajar mengalami kecederaan patah tulang tumit selepas terlibat kemalangan pada Ogos lalu yang menyebabkan dia tidak dapat mencari rezeki sebagai pekerja pembersihan di sebuah sekolah, di sini.
Sementara itu, ujar Muhammad Elias Bahari, dia teruja untuk kembali ke sekolah tidak lama lagi selepas tiga bulan terpaksa melupakan alam persekolahan bagi menjaga ibu dan adiknya di rumah. – UTUSAN











