Kad Perak Sejahtera pastikan dapur asnaf berasap

Kad Perak Sejahtera pastikan dapur asnaf berasap

ROZIAH Saleh (kiri) bersama Norimah Amir Husin menunjukkan Kad Perak Sejahtera, berupa bantuan RM100 sebulan untuk membeli makanan asas yang diberi bawah program Perak Sejahtera 2030. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Bantuan RM100 sebulan menerusi Kad Perak Sejahtera membantu golongan asnaf dan kumpulan sasar mengurangkan perbelanjaan makanan asas, sekali gus membolehkan mereka menggunakan pendapatan sendiri untuk keperluan lain.

Bagi ibu tunggal yang juga pembuat kerepek, Norimah Amir Husin, 54, bantuan yang diterimanya sejak tiga hingga empat tahun lalu banyak membantu mengurangkan wang sendiri untuk membeli barangan keperluan rumah.

“Bantuan RM100 sebulan itu memang membantu. Kami boleh membeli barang keperluan asas, sekali gus mengurangkan perbelanjaan daripada duit sendiri,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelegaan sama dirasai seorang lagi ibu tunggal, Roziah Saleh, 58, yang sudah 27 tahun mencari rezeki sebagai tukang jahit selain membuat kuih untuk dijual sebagai pendapatan sampingan.

“Kalau banyak tempahan, banyaklah pendapatan. Saya tidak mempunyai gaji tetap.

“Alhamdulillah, bantuan kad ini membantu perbelanjaan dapur dan meringankan beban saya,” katanya.

Bantuan itu digunakan untuk membeli beras, barangan makanan serta bahan asas memasak bagi memastikan keperluan harian mereka terus mencukupi.

Ketua Kampung Jalan Gula, Muhammad Nazarudin Hamzah, 54, berkata kira-kira 48 penerima di bawah seliaannya mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Menurutnya, bantuan itu penting kepada keluarga berpendapatan rendah, khususnya mereka yang berdepan kekangan mencari pendapatan akibat masalah kesihatan atau pekerjaan tidak menentu.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM24.5 juta bagi pelaksanaan Kad Perak Sejahtera pada 2026, dengan sasaran 21,000 penerima.

Seramai 20,286 penerima seluruh negeri mendapat manfaat program itu setakat 20 April 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini