Peruntukan RM1 juta untuk Koperasi Kariah Masjid di Pahang tahun depan

Peruntukan RM1 juta untuk koperasi kariah masjid di Pahang tahun depan

WAN Rosdy Wan Ismail (tengah) menyampaikan Anugerah Koperasi Kariah Masjid Terbaik Negeri Pahang 2026 kepada Koperasi Kariah Masjid Al-Hikmah Rompin Berhad di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN : Kerajaan negeri menambah peruntukan untuk gerakan koperasi kariah masjid di negeri ini daripada RM600,000 kepada RM1 juta, tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukkan itu akan dibentangkan dalam pembentangan belanjawan 2027 pada hujung November ini.

“Sebenarnya bila kita ada korporasi, memudahkan juga pihak kerajaan membantu menyalurkan dana kepada korporasi. Tahun lepas, kerajaan negeri memberi RM600,000 kepada semua koperasi-koperasi masjid dan tahun ini, insya-Allah akan tambah lagi nilai tersebut kepada RM1 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi saya minta Pengerusi Koperasi (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam)  uruskan perkara ini untuk saya bentangkan dalam  Belanjawan nanti,” katanya selepas Majlis Multaqa Wa Takrim Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, kini terdapat 87 koperasi kariah masjid di seluruh Pahang dengan jumlah keanggotaan hampir 7,000 ahli dan modal syer hampir RM2 juta setakat 31 Disember tahun lalu.

Katanya, nilai aset koperasi kariah masjid di negeri ini juga merekodkan jumlah memberangsangkan iaitu melebihi RM5 juta.

Sementara itu, Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan membantu memulihkan 1,000 koperasi tidak aktif di seluruh negara pada tahun depan menerusi pelbagai inisiatif bagi menggerakkan semula kegiatan perniagaan organisasi berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menganggarkan antara 3,000 hingga 5,000 koperasi di negara ini berada dalam kategori tidak aktif termasuk koperasi yang berstatus dorman.

Menurutnya, koperasi yang tidak aktif masih mempunyai peluang untuk dipulihkan sekiranya pengurusan dan ahli jawatankuasanya berusaha menggerakkan semula aktiviti perniagaan masing-masing.

“Secara umumnya, kira-kira 20 hingga 30 peratus koperasi akan berada pada tahap tidak aktif pada satu-satu masa, bergantung kepada perjalanan dan perkembangan koperasi berkenaan.

“Justeru, Angkasa mempunyai pakej pemulihan untuk membantu koperasi termasuk koperasi kariah masjid yang tidak aktif supaya dapat kembali menjalankan kegiatan perniagaan,” katanya.

Abdul Fattah berkata, antara pendekatan yang ditawarkan adalah kemudahan kredit pembelian barangan bernilai antara RM10,000 hingga RM20,000 bagi membantu koperasi mendapatkan bekalan untuk dipasarkan kepada anggota. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini