KUALA TERENGGANU: Terengganu Football Club Sdn. Bhd.(TFCSB) akan menyelesaikan isu sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) secara profesional tanpa menjejaskan perancangan pasukan dan kelab itu musim ini.
TFCSB dalam satu kenyataan memaklumkan, kes tersebut melibatkan tuntutan perihal yang lepas dan pihak kelab mengambil maklum tuntutan berkenaan serta pembayaran secara berkala telah dilakukan.
“Namun, pihak kelab sentiasa komited dan mengambil maklum tarikh pendaftaran kedua yang bakal bermula pada 5 Januari 2027. Penyelesaian perihal ini akan dibuat dengan profesional tanpa menjejaskan perancangan pasukan dan kelab musim ini,” katanya hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, perancangan TFC dan Kuala Lumpur City (KL City) FC untuk memperkuat pasukan pada jendela perpindahan Januari depan mungkin berdepan masalah selepas dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA.
Sekatan yang berkuat kuasa sejak 14 Oktober lalu itu dikesan menerusi semakan di pangkalan data rasmi FIFA, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai langkah yang perlu diambil pengurusan kedua-dua pasukan Liga Super itu bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Situasi itu perlu diberi perhatian memandangkan jendela perpindahan Januari depan bakal membuka peluang kepada kelab untuk memperkemaskan skuad masing-masing bagi menghadapi baki saingan musim ini.
Menurut TFCSB, kelab itu telah menjalankan tanggungjawab secara profesional dan mematuhi setiap prosedur perundangan bola sepak antarabangsa.
Katanya, TFCSB sentiasa bertindak secara telus dan profesional selain memastikan setiap urusan melibatkan kelab diselesaikan mengikut garis panduan yang sah.
“Pihak kelab akan berkongsi perkembangan terbaru bagi sebarang tindakan berhubung perkara ini,” katanya.
Pada November tahun lalu, TFCSB dilapor telah menjelaskan semua tunggakan bayaran kepada pemain import TFC pada musim sebelumnya sebelum keputusan rasmi FIFA dikeluarkan.
TFC dilapor dikenakan sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA berikutan berikutan kemelut tunggakan gaji pemain import yang telah meninggalkan kelab sejak April tahun lalu. – UTUSAN











