Ada pelakon minta bayaran hadir sesi latihan - Utusan Malaysia

Ada pelakon minta bayaran hadir sesi latihan

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cik Bunga tertarik dengan kenyataan pengarah dan penerbit terkenal tanah air, Erma Fatima, baru-baru ini apabila dia meluahkan pandangan cukup tegas mengenai sikap segelintir pelakon yang dikatakan meminta bayaran untuk sesi latihan atau rehearsal.

Menerusi perkongsian di Threads, Erma seolah-olah mahu mengingatkan bahawa persediaan sebelum melangkah ke set penggambaran bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan, apatah lagi bagi mereka yang bergelar anak seni.

Kata Erma, pelakon yang sudah terbukti kehebatannya pun tidak pernah berhenti mempersiapkan diri sebelum memulakan penggambaran. Jadi, bagaimana pula dengan pelakon yang masih perlu mempertingkatkan mutu lakonan dan menimba lebih banyak pengalaman? Pedas juga teguran Erma kali ini!

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih mencuri perhatian apabila Erma turut menyentuh mengenai dakwaan ada pelakon yang meminta bayaran untuk menjalani sesi rehearsal. Malah, dia menegaskan tidak akan melayan sikap pelakon yang disifatkannya sedemikian.

Cik Bunga tertanya-tanya juga, siapakah gerangan pelakon yang dimaksudkan oleh Erma?

Adakah pelakon baharu yang sedang meningkat naik, atau ada pihak lain yang mungkin terasa dengan teguran terbuka itu? Setakat perkongsian berkenaan, Erma tidak menamakan mana-mana individu secara khusus. Namun begitu, Cik Bunga faham apa yang cuba disampaikan oleh Erma.

Dalam industri seni, bakat sahaja tidak semestinya mencukupi. Disiplin, kesungguhan, persediaan dan sikap profesional juga memainkan peranan penting untuk memastikan sesebuah produksi berjalan lancar.

Cik Bunga setuju, pelakon baharu memang perlu banyak belajar daripada pengalaman artis yang lebih senior.

Bukan bermaksud pelakon baharu tidak bagus atau tidak mempunyai bakat, tetapi setiap bidang pekerjaan ada proses pembelajarannya. Begitu juga dunia lakonan. Ada perkara yang hanya boleh difahami dengan pengalaman, termasuk cara menghayati watak, memahami skrip, menerima arahan pengarah dan menyesuaikan diri dengan suasana di set.

Sesi rehearsal juga bukan sekadar datang, membaca skrip dan kemudian pulang. Ia boleh menjadi ruang untuk pelakon memahami emosi watak, membina keserasian dengan pelakon lain serta memperkemas babak sebelum kamera mula bergolek.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini