PETALING JAYA: Peningkatan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2027 dijangka memacu jualan peruncit barangan keperluan, khususnya 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd, Eco-Shop Marketing Bhd dan MR DIY Group (M) Bhd, sekali gus membantu mengimbangi tekanan kenaikan kos operasi.
RHB Investment Bank Bhd berkata, peruntukan lebih besar bagi SARA di bawah peruntukan keseluruhan RM16 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA akan mengarahkan lebih banyak perbelanjaan isi rumah kepada barangan keperluan yang layak dibeli menggunakan bantuan berkenaan.
Menurutnya, peruncit yang mengambil bahagian dalam program berkenaan berpotensi merekodkan peningkatan jualan melalui rangkaian kedai sedia ada, sekali gus meningkatkan kecekapan penyerapan kos tetap dan membantu mengurangkan tekanan daripada kenaikan kos gaji.
“Syarikat yang memberi tumpuan kepada barangan keperluan dan produk bernilai rendah berada pada kedudukan lebih baik untuk meraih manfaat daripada langkah itu, memandangkan kumpulan pelanggan mereka banyak terdiri daripada isi rumah berpendapatan rendah hingga sederhana.
“Selain perubahan komposisi bantuan, peluasan manfaat SARA serta pemberian sekali bayar sempena musim perayaan dijangka menyokong pembelian pengguna, manakala kenaikan gaji mulai Jun 2027 berpotensi memberikan rangsangan tambahan kepada pendapatan boleh guna isi rumah,” katanya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan peningkatan kuasa beli pengguna perlu disertai pengurusan kos yang berkesan oleh peruncit bagi memastikan pertumbuhan jualan dapat membantu mengimbangi tekanan kos operasi.
RHB mengekalkan saranan ‘Overweight’ terhadap sektor produk pengguna, dengan 99 Speed Mart, Eco-Shop Marketing, Nestle (Malaysia) Bhd, QL Resources Bhd dan Farm Fresh Bhd sebagai pilihan utama.-UTUSAN











