JOHOR BAHRU: Individu yang sebelum ini tular menyebarkan ajaran sesat menggunakan nama ‘Ratu Balqis’ dihukum penjara 12 bulan beserta denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru, di sini hari ini.
Turut dijatuhkan hukuman sama dua lagi individu yang didapati bersubahat dengan wanita berkenaan, sebelum ini.
Mahkamah sama turut memerintahkan ketiga-tiga mereka dipenjara tambahan lima bulan sekiranya gagal membayar denda.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, tertuduh pertama mengaku bersalah di bawah Seksyen 4 (doktrin palsu) dan Seksyen 6(b) (dakwaan palsu).
“Manakala dua lagi tertuduh, masing-masing dituduh bersubahat di bawah Seksyen 43(b) dan Seksyen 43(c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997 (Enakmen No. 4 Tahun 1997) berkaitan kesalahan yang sama.
“Kes ini memperlihatkan keseriusan kesalahan berkaitan penyebaran doktrin palsu dan dakwaan palsu khususnya apabila melibatkan kedudukan Rasulullah SAW serta pelaksanaan ibadah yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Fared, pihak berkuasa agama Johor akan terus memperkukuh dakwah, pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan akidah serta memastikan tindakan diambil mengikut undang-undang.
Pad Ogos lalu, wanita sama turut dihukum 10 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan membuat hantaran palsu dan jelik melampau di media sosial.-UTUSAN











