KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat perisian dan teknologi maklumat mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah RM5.5 juta dan pengubahan wang haram, tujuh tahun lalu.
Di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad, tertuduh, Datuk Seri Liew Kok Leong, 53, yang ketika kejadian merupakan Pengarah syarikat ARB Development Sdn. Bhd. telah memindahkan wang RM5.5 juta milik syarikat itu kepada akaun sebuah firma guaman bagi pembelian tiga lot kedai pejabat di Ipoh, Perak milik seorang individu bernama Er Yan Shuen.
Wang tersebut sepatutnya digunakan untuk pembelian 51 peratus saham ekuiti (bersamaan 255,000 unit saham biasa) di dalam syarikat C&M Renewable Energy Technology Sdn. Bhd.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 6 Mei dan 17 Jun 2019 di sebuah bangunan di Jalan Stesen Sentral 2 di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Hakim Suzana Hussin, tertuduh didakwa terlibat dengan pengubahan wang haram apabila mengarahkan Yan Shuen memindahkan RM403,000 daripada akaun individu itu kepada akaun ke akaun bank Syarikat Permata Global Sdn Bhd pada 15 Jun 2019 di Maybank Cawangan Taman Maluri di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julianaazrina Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Zander Lim Wai Keong.
Tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin dan diperintahkan untuk melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM, Putrajaya.
Tertuduh turut diperintahkan untuk menyerahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak dibenarkan meninggalkan negara tanpa kebenaran mahkamah dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan secara langsung atau melalui pihak lain.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Disember ini. –UTUSAN











