PERSEMPADANAN semula Parlimen Temerloh, Pahang, wajar dipertimbangkan susulan pertambahan jumlah pengundi berdaftar yang ketara.
Ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), jumlah pengundi meningkat daripada kurang 70,000 kepada kira-kira 107,000 orang. Pertambahan ini turut dipengaruhi pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik bagi warganegara berumur 18 tahun ke atas.
Dengan jumlah penduduk menghampiri 190,000 orang serta berada di bawah pentadbiran daerah dan Majlis Perbandaran Temerloh, sudah tiba masanya struktur perwakilan kawasan ini dinilai semula agar lebih seimbang dengan perkembangan semasa.
Pada masa ini, Temerloh mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Lanchang, Mentakab dan Kuala Semantan.
Dua DUN lain pula berada di bawah Parlimen Kuala Krau.
Persempadanan pilihan raya tidak semestinya mengikut sempadan daerah, sebagaimana DUN Jengka di Maran yang turut diletakkan di bawah Parlimen Kuala Krau.
Bagi menyesuaikan kawasan pilihan raya dengan pertambahan penduduk, satu cadangan dikemukakan supaya tiga DUN baharu diwujudkan, menjadikan keseluruhan enam kerusi DUN di bawah kawasan yang dicadangkan.
DUN Paya Luas boleh meliputi kawasan seberang bandar Temerloh hingga ke sempadan Maran, termasuk kampung berdekatan.
DUN Lebak pula dicadangkan merangkumi Kampung Pangsa Enam, Kampung Lebak Seberang dan kawasan berhampiran hingga ke sempadan Daerah Bera.
Sementara itu, DUN Sanggang boleh meliputi Taman Sri Semantan, Desa Murni, Kampung Penak, Bukit Cermin dan kawasan sekitarnya hingga ke sempadan Kuala Krau.
Tiga DUN sedia ada turut dikekalkan dengan beberapa penyesuaian. DUN Mentakab dicadangkan ditukar nama kepada DUN Bandar Mentakab, manakala Lanchang dikekalkan seperti sekarang.
DUN Kuala Semantan pula dicadangkan meliputi kawasan sedia ada hingga Taman Temerloh Jaya dan kawasan berhampiran.
Sekiranya cadangan ini sesuai dengan kriteria persempadanan, ia boleh disusun semula kepada dua kawasan, iaitu Parlimen Temerloh dan Parlimen Mentakab.
Parlimen Temerloh dicadangkan merangkumi DUN Paya Luas, Kuala Semantan dan Lebak, manakala Parlimen Mentakab meliputi DUN Lanchang, Bandar Mentakab dan Sanggang.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan cadangan ini tertakluk pada penelitian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk jumlah pengundi bagi setiap kawasan dan keperluan persempadanan yang ditetapkan.
Cadangan ini dikemukakan sebagai pandangan untuk memastikan perwakilan penduduk lebih seimbang, urusan pentadbiran lebih teratur dan kepentingan masyarakat setempat dapat disuarakan dengan berkesan. -UTUSAN
CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang











