KUALA LUMPUR: Seorang warga emas bergelar ‘Datuk’ didakwa mencabul anak lelaki seorang pegawai kanan polis di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini.
Tertuduh, Saiful Anuar Abdul Aziz, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nur Ain Ariffin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang bekerja sebagai arkitek didakwa mencabul kehormatan remaja lelaki berumur 18 tahun itu di dalam bilik wap (bilik sauna) di sebuah gimnasium di dalam sebuah pusat beli-belah, di sini, pada pukul 7.10 malam, 18 Oktober lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, M. Ramanathan Alias Ashwin mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Turut dimohor agar tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam bela, K. Theivaendran yang mewakili Saiful Anuar memohon jumlah jamin yang rendah atas alasan anak guamnya itu tidak mempunyai risiko melarikan diri.
Pihaknya turut membantah syarat tambahan penyerahan pasport memandangkan anak guamnya yang bekerja sebagai arkitek mempunyai projek di luar negara.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 26 November ini.
Pada Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung kes lelaki warga emas yang didakwa mencabul anak pegawai kanan polis di sebuah pusat gimnasium di Melawati.
Ia selepas pegawai kanan polis itu menahan lelaki warga emas berusia 61 tahun yang didakwa mencabul anak lelakinya di lokasi kejadian.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di pusat gimnasium bersama rakannya sebelum dicabuli lelaki itu. – UTUSAN








