BRISTOL: Seorang pelajar universiti dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kelmarin selepas tergamak menikam rakan serumahnya sebanyak 30 kali dalam kejadian berdarah yang berpunca daripada pertikaian kadar sewa bilik.
Zack Coughlan, 23, diarah menjalani hukuman penjara minimum 28 tahun selepas Hakim Linden dari Mahkamah Mahkota Bristol, mendapatinya bersalah menyerang Jamie Collins, 21.
Kejadian itu berlaku di halaman kediaman mereka berhampiran Bristol pada 8 April lalu.
Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Linden menyifatkan Collins sebagai seorang individu yang sangat baik, prihatin dan sentiasa mengelak daripada sebarang konflik.
“Saya yakin anda telah merancang untuk membunuh Collins sejak sekian lama. Pengakuan salah anda dibuat pada saat sabitan ke atas anda sememangnya tidak dapat dielakkan lagi,” katanya,
Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan Coughlan kononnya mangsa pernah mengugut untuk membunuhnya terlebih dahulu.
Kedua-dua pelajar tahun akhir di University of the West of England (UWE) itu tinggal bersama di kediaman milik Coughlan.
Namun, mereka dilaporkan kerap berselisih faham berikutan perbezaan pandangan politik dan pertikaian mengenai kadar sewa yang dikenakan oleh Coughlan.
Apabila tertuduh menghubungi pihak polis lapan jam kemudian, dia berpura-pura baharu menemukan mayat Collins dan dirakam menangis teresak-esak di hadapan pegawai polis.
Dia turut mendakwa kesan luka pada tangannya berpunca daripada aktiviti memanjat pokok. – AGENSI











