Kuil haram di Klang dijadikan stor dadah

Kuil haram di Klang dijadikan stor dadah

Kuil dadah
SHAZELI Kahar menunjukkan dadah yang dirampas dalam lima serbuan di kuil haram, kondominium dan KLIA pada sidang akhbar di IPK Selangor, di Shah Alam, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah kuil haram di Klang antara dua premis yang diserbu polis pada minggu lalu apabila dikesan menyimpan dadah jenis heroin di dalam sebuah stor di rumah ibadat itu sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kuil tidak berdaftar itu disahkan dibina di atas kawasan yang tidak digazetkan bagi rumah ibadat.

Katanya, sebaliknya tanah tersebut merupakan sebuah tapak yang dikhaskan bagi pembinaan pembentungan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika serbuan polis menemukan dan merampas 46 bungkusan plastik yang mengandungi dadah jenis heroin seberat 20.6 kilogram yang disimpan dalam stor di kuil tersebut.

“Susulan itu, seorang lelaki warga tempatan dipercayai bekerja sambilan di kuil berkenaan, namun tinggal atau menetap di rumah ibadat itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Jelas Shazeli, lelaki itu antara tujuh suspek lain termasuk empat warga asing yang ditangkap susulan lima serbuan yang turut dilakukan dekat sebuah kondominium di Rawang dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah Gombak dan Polis Bantuan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Serbuan tersebut menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah di kawasan berkenaan yang melibatkan penahanan tiga lelaki dan satu wanita tempatan serta tiga lelaki dan satu wanita warga asing berusia 19 hingga 48 tahun dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket dadah tempatan dan antarabangsa.

Antara dadah yang dirampas termasuk 129 bungkusan plastik berisi ketulan mampat bunga ganja, 327 paket ketulan mampat ganja, satu botol dan 3,510 katrij cecair ketamin, 84 botol cecair ekstasi, 46 bungkusan heroin dan 17 paket ketamin yang kesemuanya bernilai RM16.2 juta.

“Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, salah seorang daripada suspek warga tempatan dikesan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.

“Polis turut menyita dua buah kereta Honda Accord dan Proton Saga, sebuah motosikal Honda RS150 dan wang tunai dalam matawang tempatan dan asing dengan nilai sitaan berjumlah RM54,835,” jelasnya.

Katanya lagi, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan boleh menampung penggunaan sehingga 801,000 pengguna berdasarkan anggaran 0.3 gram bagi setiap pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini