PETALING JAYA: Pas sepatutnya mematuhi Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) dan aturan pertubuhan itu bagi mengelakkan pertikaian pentadbiran gabungan berkenaan dibawa ke mahkamah dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Pas selaku pengerusi dan pentadbir PN perlu melaksanakan urusan gabungan itu mengikut peraturan serta mematuhi keputusan Majlis Tertinggi (MT) PN dengan amanah tanpa bertangguh.
Katanya, perkara itu juga tidak akan berlarutan sekiranya tiada pemimpin Pas yang bukan anggota MT PN bertindak melanggar keputusan badan itu atau rundingan dilakukan dengan mengetepikan MT PN.
“Pas tidak sepatutnya bertindak secara unilateral sehingga melanggar Perlembagaan PN kerana negara ini mempunyai undang-undang, manakala gabungan itu juga tertakluk kepada perlembagaan dan aturan sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas mengenai keputusan penangguhan mahkamah semalam, Tun Faisal berkata, keputusan itu tidak menentukan sama ada keputusan RoS salah atau membuktikan Pas tidak pernah melanggar Perlembagaan PN, menindas serta menafikan hak Bersatu sebagai parti anggota gabungan berkenaan.
Semalam, PN boleh meneruskan persiapan bagi bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menggunakan nama dan logonya selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan penggantungan notis RoS terhadap gabungan itu.
Keputusan Hakim Datuk Azizan Md. Arshad itu membolehkan PN meneruskan aktiviti politik sementara menunggu pelupusan semakan kehakiman, sekali gus membuka laluan kepada gabungan berkenaan menyusun strategi menjelang hari penamaan calon pada 31 Oktober ini dan pengundian 14 November.
Menerusi keputusan itu, RoS tidak boleh menguatkuasakan penggantungan aktiviti atau pembatalan pendaftaran PN sehingga semakan kehakiman berkenaan diputuskan sepenuhnya.
Menurut Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Bersatu akan dipanggil menghadiri mesyuarat PN dalam masa terdekat kerana parti itu masih merupakan anggota gabungan berkenaan.
Katanya, keputusan mahkamah membolehkan PN mengadakan mesyuarat bagi menyusun langkah menghadapi PRN Melaka termasuk menentukan strategi dan pembahagian kerusi.-UTUSAN











