Sekatan FIFA jejaskan Terengganu, KL City 

Sekatan FIFA jejaskan Terengganu, KL City 

Sekiranya sekatan berkenaan masih berkuat kuasa, hasrat Terengganu dan KL City untuk mendaftarkan pemain baharu boleh terjejas dan berpotensi mempengaruhi perancangan kejurulatihan. - IHSAN TERENGGANU FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perancangan Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur City (KL City) FC untuk memperkuat pasukan pada jendela perpindahan Januari depan mungkin berdepan masalah selepas dikenakan sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sekatan yang berkuat kuasa sejak 14 Oktober lalu itu dikesan menerusi semakan di pangkalan data rasmi FIFA, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai langkah yang perlu diambil pengurusan kedua-dua pasukan Liga Super itu bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Situasi itu perlu diberi perhatian memandangkan jendela perpindahan Januari depan bakal membuka peluang kepada kelab untuk memperkemaskan skuad masing-masing bagi menghadapi baki saingan musim ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, punca sebenar sekatan itu masih belum diperjelaskan dan pihak pengurusan Terengganu juga belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkembangan berkenaan sehingga artikel ini ditulis.

Sekatan berkenaan hanya akan ditarik balik selepas isu yang dibangkitkan FIFA diselesaikan, menjadikan tindakan pengurusan kelab itu penting bagi menentukan hala tuju mereka menjelang jendela perpindahan akan datang.

Di kem KL City pula, ini adalah kali kedua pasukan itu dikenakan sekatan musim ini selepas berdepan isu yang sama pada awal musim yang menyaksikan mereka gagal mendaftarkan pemain seperti yang dijadualkan.

Bagaimanapun, menurut sumber sekatan terhadap skuad The City Boys itu bukan disebabkan tunggakan gaji, sebaliknya tuntutan bayaran faedah atau bunga membabitkan bekas penyerang import dari Filipina, Patrick Reichelt.

Menurut sumber itu, gaji Reichelt sudah dilangsaikan, namun tuntutan terbaharu membabitkan bayaran faedah yang masih perlu dijelaskan.

“Tunggakan gaji kita dah langsaikan, tapi yang dia tuntut kali ini adalah ‘interest’,” kata sumber berkenaan.

Perkembangan itu memberi gambaran berbeza terhadap isu sekatan yang kembali membelenggu The City Boys selepas nama kelab berkenaan dikesan dalam pangkalan data sekatan perpindahan FIFA sejak 14 Oktober lalu.

Sumber sama turut memaklumkan bahawa pihak kelab akan menyemak semula tarikh FIFA mengeluarkan arahan berkenaan serta tarikh sebenar sekatan itu mula berkuat kuasa.

“Takkan keluar surat terus ban, mesti ada ‘time frame’ untuk bayar,” katanya.

Bagaimanapun, butiran lanjut berhubung jumlah faedah yang dituntut, tempoh pembayaran yang diberikan FIFA serta status penyelesaian tuntutan itu masih belum dapat dipastikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini