KUALA LUMPUR: Dua bekas pegawai kanan Lembaga Tabung Haji (TH) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menipu berhubung pelarasan nilai tiga hartanah pelaburan bagi tujuan pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion, lapan tahun lalu.
Bagaimanapun, bekas Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar, 63, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Johan Abdullah, 70, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa menipu Ahli Lembaga Pengarah TH dengan menyediakan dan membentangkan kertas kerja yang mengandungi cadangan pelarasan semula nilai hartanah pelaburan.
Kertas kerja itu didakwa bertujuan meningkatkan jumlah keuntungan dalam Laporan Kewangan Belum Disatukan TH bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, bagi membolehkan pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion, sedangkan nilai hartanah terbabit sepatutnya dinilai pada harga pasaran lebih rendah.
Perbuatan itu mendorong ahli lembaga meluluskan pelarasan nilai tiga hartanah utama, iaitu Bangunan TH Platinum Park, Bangunan TH Perdana dan Bangunan TH Selborne.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara TH Tun Razak, Jalan Tun Razak, antara pukul 3 petang hingga 10.30 malam pada 9 Februari 2018.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nazran Mohd Sham, Rohaiza Abd Rahman dan Siti Aina Rodhiah Md Shikh.
Rozaida diwakili peguam Shamsul Sulaiman, manakala Johan diwakili Datuk Shukri Mohamed dan Malissa Shukri.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM60,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Disember ini. – UTUSAN











