Lapor salah laku, arahan bercanggah kepada SPRM

Lapor salah laku, arahan bercanggah kepada SPRM

ABD. HALIM AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Sebarang salah guna kuasa atau arahan bercanggah dengan perundangan perlu segera dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi saluran rasmi disediakan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, warga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa untuk terus memelihara nilai integriti serta tadbir urus terbaik sebagai teras utama perkhidmatan demi mempertahankan keyakinan serta kepercayaan masyarakat terhadap institusi komunikasi negara.

“Berani kerana benar dan laporkan sebarang salah laku. Perkara yang salah jangan sesekali dilindungi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Integriti bukanlah sekadar mematuhi peraturan bertulis atau sekadar memenuhi keperluan audit semata-mata. 

Sebaliknya, ia bermula daripada nilai dan prinsip hakiki dipegang setiap individu, terutamanya apabila berhadapan situasi yang menguji kejujuran serta amanah,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Kemuncak Bulan Integriti dan Audit MCMC 2026 bertemakan ‘Empowering Integrity, Strengthening Governance’ di Auditorium MCMC, Cyberjaya hari ini.

Katanya, amanah wajib dipelihara tanpa mengira pangkat atau kedudukan manakala kuasa pula bukanlah satu keistimewaan. 

“Setiap keputusan berhubung perlesenan, penguatkuasaan, perolehan, pengurusan sumber manusia dan hubungan industri mestilah dilaksanakan secara telus,” jelasnya.

Sementara itu, Anggota Suruhanjaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Risiko MCMC, Prof. Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod berkata, MCMC sentiasa komited mengekang amalan rasuah selain mewujudkan sistem tatakelola berakauntabiliti secara berterusan.

“MCMC sentiasa melaksanakan yang terbaik bagi memastikan setiap dana diurus akan dikembalikan manfaatnya kepada rakyat secara telus dan teratur,” katanya.

Dalam program sama, turut diadakan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dipimpin oleh Penolong Pengarah, Pejabat MCMC Selangor, Ahmad Azri Zainal Abidin serta sesi penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Berbalas Pantun, Video Kreatif serta Poster Digital Integriti dan Audit MCMC 2026.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Anggota Jawatankuasa Audit dan Risiko MCMC, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Anggota Suruhanjaya MCMC, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Hadir sama, Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali; Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin serta Ketua Unit Integriti dan Governans MCMC, Abdullah Sani A Latib. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini