TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Iran pada Khamis mengancam untuk menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di seluruh Asia Barat jika tentera AS meneruskan pengiringan kapal melalui Selat Hormuz.
“Pihak tentera AS perlu tahu bahawa jika tindakan ini berterusan, konflik akan merebak ke pangkalan mereka di rantau ini,” kata Kor Pengawal Revolusi, sayap ideologi tentera Iran, dalam kenyataan yang disiarkan di laman web Sepah News.
“Ini amaran serius,” tambahnya.
Iran mendakwa menguasai Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang sebelum perang tercetus pada Februari, menjadi laluan bagi satu perlima bekalan minyak dunia.
Iran kerap menyerang kapal yang cuba melalui selat itu tanpa kebenarannya.
Bagaimanapun, tentera AS semakin giat mengiringi kapal melalui laluan perairan itu, manakala Iran bertindak balas dengan meningkatkan serangan.
Empat kapal diserang di kawasan itu semalaman ketika cuba melalui kawasan Teluk yang lebih luas, menurut tentera Iran pada Khamis.
Washington juga terus mengekalkan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran bagi menekan ekonomi negara itu, ketika rundingan untuk menamatkan konflik menemui jalan buntu.
Selat Hormuz, bersempadan dengan Iran di utara dan Oman di selatan, hanya selebar kira-kira 30 kilometer pada bahagian paling sempit dan merupakan laluan penting bagi kapal yang membawa minyak serta gas dari negara-negara Teluk. – AFP











