Iran rancang guna 'bapa segala bom' sebagai senjata - Utusan Malaysia

Iran rancang guna ‘bapa segala bom’ sebagai senjata

PELURU berpandu Iran jatuh di kawasan pertanian di Najha, luar ibu kota Syria, selepas dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel pada 8 Jun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran merancang memperkenalkan senjata baharu yang digelar sebagai ‘bapa segala bom’, ketika negara itu mendakwa mencapai kemajuan besar dalam pembangunan keupayaan peluru berpandunya.

Perkembangan itu berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mempertimbangkan penggunaan bom bukan nuklear terbesar bagi kemungkinan melancarkan serangan terhadap sasaran di Iran.

Jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Hossein Mohebbi berkata, Iran kini bersedia memperkenalkan senjata disifatkan sebagai sesuatu yang baharu kepada pihak musuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami kini berada pada pe­ringkat memperkenalkan bapa segala bom. Ini sesuatu yang baharu bagi pihak musuh,” katanya, menurut agensi berita Iran, Young Journalists Club.

Mohebbi turut memban­dingkan senjata yang bakal diperkenalkan itu dengan bom GBU-43/B Massive Ordnance Air Blast (MOAB) milik tentera AS, yang lebih dikenali sebagai ‘ibu segala bom’.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan spesifikasi tek­nikal senjata berkenaan, termasuk sama ada ia merupakan bom atau jenis peluru lain.

Beliau juga tidak memberikan sebarang maklumat me­ngenai tarikh senjata itu akan diperkenalkan.

Tentera AS dilaporkan sedang mempertimbangkan peng­gunaan bom MOAB untuk melancarkan serangan baharu terhadap Iran, dengan sasaran termasuk infrastruktur tenaga dan tapak nuklear.

Bom itu mempunyai berat kira-kira 9,797 kilogram (kg) dan membawa muatan bahan letupan konvensional yang besar.

Direka untuk menghasilkan letupan berkuasa tinggi dalam kawasan luas, senjata berpandukan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) itu merupakan antara bom bukan nuklear terbesar dalam inventori senjata AS.

AS pertama kali menggunakan MOAB dalam operasi ketenteraan pada 13 April 2017 apabila bom itu digugurkan ke atas kompleks terowong milik kumpulan Daesh di wilayah Khorasan, Afghanistan.

Dalam pada itu, jurucakap IRGC itu turut mendakwa simpanan peluru berpandu Iran meningkat sebanyak satu setengah kali ganda sejak konflik selama 12 hari antara Iran dan Israel pada Jun 2025.

Beliau berkata, Iran turut meningkatkan keupayaan peluru berpandunya dari segi jarak, kuasa pemusnah, ketepatan dan keupayaan perisikan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini